Oleh Nur Zalikhaa’ Zainal Abidin & Maryam Zulkafly
Subsidi adalah satu instrumen digunakan kerajaan dalam usaha memastikan barangan dan perkhidmatan tertentu dijual pada harga berpatutan.
Namun, beban kewangan kerajaan meningkat dengan ketara sejak sekian lama dan ini memberi kesan amat besar terhadap bajet negara.
Rasionalisasi subsidi adalah langkah penting sedang dipertimbangkan kerajaan untuk memperkukuhkan kedudukan fiskal negara dan mengurangkan ketirisan dalam pengagihan subsidi.
Pertimbangan teliti mengenai jenis subsidi dan matlamat disasarkan adalah penting untuk mencapai pembangunan mampan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Sebahagian besar daripada bajet subsidi diperuntukkan kepada produk tenaga, merangkumi lebih 80 peratus daripada jumlah subsidi.
Keadaan ini menyerlahkan keperluan untuk sistem subsidi lebih saksama, mengutamakan keperluan penduduk paling terdedah sambil menggalakkan corak penggunaan mampan.
Sementara itu, prestasi Malaysia baru-baru ini dalam kedudukan daya saing global menarik perhatian kepada peranan kritikal dimainkan subsidi dalam membentuk landskap ekonomi negara.
Kedudukan Daya Saing Dunia (IMD) pada 2024 mendedahkan penurunan ketara bagi Malaysia, dengan kejatuhan tujuh anak tangga ke tempat ke-34 daripada 67 negara.
Penurunan kedudukan daya saing Malaysia ini boleh dikaitkan dengan beberapa faktor ekonomi, termasuk dasar subsidi kerajaan.
Kerajaan hadapi cabaran
Perbelanjaan berlebihan untuk subsidi diketengahkan sebagai isu utama, dengan kerajaan menghadapi cabaran mengimbangi sokongan kepada penduduk sambil mengekalkan tanggungjawab fiskal.
Justeru, kerajaan harus menyediakan pelan rasionalisasi subsidi dengan lebih jelas dan mungkin satu simulasi harus dilakukan terlebih dahulu sebelum rasionalisasi subsidi dilaksanakan.
Semua ini perlu dibuat supaya rakyat lebih faham mekanisme digunakan bagi mengelakkan timbulnya kegusaran serta kekeliruan dalam kalangan mereka.
Hal ini tidak boleh diambil enteng kerana membabitkan produktiviti negara dan kesejahteraan rakyat. Titik perimbangan ini harus dicari dan diseimbangkan demi membina sebuah negara mampan serta makmur.
Kerajaan mungkin boleh mencontohi Belanda, mengambil masa lebih kurang tiga tahun untuk melaksanakan rombakan cukai sebelum dimaklumkan kepada rakyat.
Mereka merangka persediaan dan tindakan komprehensif untuk melaksanakan rombakan cukai
tanpa mengelirukan rakyat serta tidak bersikap terburu-buru.
Masyarakat juga perlu memahami apa dibuat kerajaan adalah untuk mengelakkan ketirisan bahan api. Langkah ini akan memberikan bantuan kewangan secara tidak langsung kepada pengguna, sekali gus mengurangkan aktiviti penyeludupan bahan api ke negara jiran.
Realitinya, ekonomi negara sedang mengalami pelbagai bentuk cabaran perlu ditangani segera. Oleh itu, langkah jitu dan hala tuju jelas perlu diperlengkapkan bagi memastikan perlindungan sosial untuk golongan berpendapatan rendah dan miskin dan demi menjamin kesejahteraan rakyat teramai.
Asas kritikal rasionalisasi subsidi perlu diumumkan secepat mungkin supaya rakyat lebih bersedia. Pendekatan proaktif menangani cabaran dan masalah mendatang amat perlu, bukan bergantung dengan unjuran atau formula semata-mata, sebaliknya berpandukan data berwibawa.
Sumber: Muka 11, Berita Harian, 6 Ogos 2024