Menghadapi Kebekuan Ekonomi

Source of Image : Unsplash – https://unsplash.com/photos/NeTPASr-bmQ

Oleh Datuk Nizam Mahshar, Mantan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Masa Depan Malaysia

COVID-19 : Menghadapi Kebekuan Ekonomi

Atau Bersedia Menampung Keruntuhan…

Covid-19 meletakkan kita dalam situasi yang merimaskan. Dari polemik Mak Cik Kiah kepada Bossmu, juga bakal Perdana Menteri, semuanya resah, tidak selesa dan mencari ruang untuk memberi pandangan.

Apa yang kita hadapi hari ini adalah peperangan. Sebuah peperangan melawan musuh yang ghaib. Dari kejadian kelaparan hingga ke kekecohan pembelian panik. Saling tak tumpah seperti dalam medan perang. Berita-berita palsu datang pantas bagai peluru. Rintihan pelbagai pihak baik sang artis mahupun siswa-siswi umpama jeritan soldadu yang kesakitan. Namun dalam segala kekecohan ini sebenarnya, ada pengajaran yang boleh diambil.

Paling jelas, pengajaran kepada para pemimpin politik, pembuat keputusan dan mereka yang berkuasa atau yang mahu berkuasa. Jika kita ada keupayaan untuk menyaring segala jeritan, rintihan, kekeliruan dan keruntuhan makam suci ekonomi monopolistik yang kini beransur-ansur menjadi debu, kita mampu untuk mendengar bisikan syahdu sebuah harapan untuk membangunkan satu sistem ekonomi yang benar-benar inklusif, saksama, terjamin dan berdaulat. Di sebalik ribut kekacauan, ada harapan penyelesaian yang berstruktur yang mampu terbina sebagai ubat buat sebuah negara yang sakit.

Pada satu sisi ilmu ekonomi, golongan neoliberal konservatif hanya mahu berharap pandemik Covid-19 ini berakhir melalui penemuan vaksin. Mereka berharap kita dapat merempuh keluar dari masalah ini sama ada melalui model kegawatan ekonomi dengan lengkung V, atau bentuk U, atau sekurang-kurangnya mengelak dari berlakunya runtuhan L seperti yang berlaku di Itali dan kemungkinan akan berlaku juga di Amerika Syarikat.

Satu lagi sisi yang lebih optimis adalah apabila kita dapat belajar sesuatu daripada episod getir ini.  Pengajaran yang pernah dijelaskan tokoh ekonomi terkenal, Thomas Piketty dalam hujahannya tentang pengakhiran ekonomi pada masa hadapan akibat jurang kekayaan sejagat dan cara-cara untuk menyelesaikannya. Hal ini sebenarnya kelihatan makin jelas dalam tragedi hari ini.

Akibat tekanan dan keterasingan yang dialami sepanjang pandemik ini juga, kita sering dikaburkan dengan penyelesaian jangka pendek yang populis. Contohnya seperti bantuan kebajikan, jaminan (bailout) perniagaan dan gula-gula politik.  Sekadar mengambil beberapa contoh, tentang gelandangan yang akan sentiasa kelaparan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro yang sentiasa lebih terdedah dengan kemungkinan untuk ditutup kerana kekurangan modal. Semua ini sama sahaja keadaannya ketika sebelum pandemik melanda dan sehingga kini, masih tiada penyelesaian terstruktur terhadap masalah ini dan tidak wujud kemahuan politik untuk menyelesaikannya dengan segera.

Walau bagaimanapun, kita benar-benar dapat melihat perbezaan ketara yang wujud antara golongan berpendapatan tinggi dengan berpendapatan rendah sekarang. Ia memberi gambaran yang jelas betapa besarnya masalah jurang ekonomi yang sedang kita hadapi hari ini. Namun dalam masa yang sama, kita juga dapat melihat kebergantungan sesama mereka yang memperkukuh nilai simbiotik untuk sama-sama memberi manfaat satu dengan yang lain.

Di satu sudut di Kuala Lumpur, kita mendengar tentang kisah pilu tentang anggota masyarakat yang hilang pendapatan dan berada dalam kelaparan. Mereka ini kebiasaannya bergantung dengan pendapatan harian dan dalam waktu krisis sebegini, mereka tidak mampu untuk membeli walau sebuku roti Gardenia buat keluarga. Sementara di satu sudut lain, ada sekumpulan manusia melakukan pembelian panik dengan membeli segala yang boleh dicapai di pasar raya. Lalu untuk mengurangkan rasa bersalah terhadap mereka yang kurang berpendapatan, sedekah menjadi penawar. Para gelandangan dijamu dengan bantuan makanan dan keperluan, tanpa ada apa-apa perubahan berstruktur terhadap aliran modal mahupun mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk mereka.  Ya, mungkin ada yang berkata saya bercakap menggunakan kotak pikir sosialis sekarang.

Namun, izinkan kotak pikir kapitalis saya pula berbicara. Satu lagi pengajaran besar daripada krisis Covid-19 ini ialah kesedaran bahawa bantuan kebajikan sahaja (yang jelas dilihat dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat Kedua) tidak cukup untuk menangani impak negatif pandemik ini. Ekonomi perlu terus bergerak walaupun ketika dalam krisis kesihatan atau alam sekitar. Jika tidak, kita terpaksa berhadapan dengan kesan jangka panjang yang mengancam urusan kehidupan kelak.

Maksudnya, entiti perniagaan dan PKS perlu terus beroperasi. Bantuan kepada perniagaan bukan sekadar tentang menyantuni seorang lelaki yang kelaparan di tepi jalan. Ia tentang Kapitalis yang memberi gaji kepada seseorang yang lapar dan gaji itu membantu untuk membeli sebuku roti Gardenia untuk keluarganya. Sekali lagi, kebergantungan dan hubungan simbiotik antara pemilik perniagaan dengan pekerja dapat dibuktikan. Hubungan harmoni antara kedua-dua pihak ini bukan lagi bayangan fantasi sebaliknya sebuan landasan nyata menuju masa hadapan ekosistem perniagaan yang lebih adil dan mampan.

Mudahnya, dalam krisis – jika pekerja tidak berlaku adil kepada perniagaan; dan sebaliknya; perniagaan tidak akan dapat bertahan. Ia seperti mengalih rongkongan menghadap ke hilir, mematikan sumber rezeki sendiri. Jika semua perniagaan menimpa nasib yang sama, ia akan membawa ekonomi kita kepada kehancuran dan seluruh sistemnya bakal rosak.

Sebelum ini, secara tidak langsung, saya telah sampaikan kepada pihak kerajaan mengenai idea strategi pembendungan yang akan berlaku selama tiga hingga enam bulan untuk membentuk situasi kebekuan ekonomi (economic standstill) akibat pandemik ini dan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan sejak awal Mac lalu. Pendekatan Kebekuan Ekonomi berlaku dengan mengakui bahawa kegawatan dalam aktiviti ekonomi sememangnya akan berlaku dalam waktu yang sama  kita mengambil segala langkah campur tangan yang boleh bagi mengelakkan keruntuhan ekonomi atau memperlahankan kesannya. Hanya dengan cara ini kita boleh mengelakkan ekonomi kita dari terus ‘jatuh gaung’.

Pendekatan Kebekuan Ekonomi ketika PKP, sekatan pergerakan, tragedi atau krisis perlu memastikan golongan berpendapatan 10 peratus terendah, golongan rentan (20 peratus tenaga buruh terbawah) dan mereka yang bergantung kepada pendapatan harian dilindungi, manakala perusahaan mikro, kecil dan sederhana boleh meneruskan operasi sementara aktiviti ekonomi dan penyampaian kerajaan terus berlangsung dalam tahap optimum-minimum.

Alhamdulillah, kerajaan telah melaksanakan lebih daripada tahap optimum-minimum yang disebut, iaitu seperti saya perkirakan, kira-kira RM120 bilion yang diperlukan sebagai dana rangsangan. Kekurangan dalam strategi ini diatasi melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Ketiga untuk PKS menjadikan jumlah keseluruhan Pakej Rangsangan Ekonomi kali ini adalah sebanyak RM260 bilion yang mana 70 peratus daripadanya ditumpukan kepada strategi kebajikan rakyat, termasuklah untuk pencegahan penularan wabak.

Kita berharap peruntukan yang pertama kali diberikan sebesar ini tidak akan mengancam dana simpanan sebagai persediaan untuk kita menghadapi ‘tsunami’ yang kedua, ketiga atau gegaran lanjutan atau apa sahaja kejutan ekonomi yang mungkin boleh berlaku dalam masa terdekat.

Strategi pembendungan dan kebekuan ekonomi secara bersama sangat penting dalam menguruskan krisis. Krisis yang dihadapi kini bukanlah bermula pada ketika pelaksanaan PKP sahaja, tetapi ia disebabkan oleh Covid-19 yang seawal Mac telah menyebabkan kegawatan dalam ekonomi negara sehingga membuatkan kita semakin bermasalah sepanjang tempoh PKP ini. Kemungkinan krisis akan berterusan sehingga pandemik ini berakhir dan kesannya akan dirasai selama sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan selepas ini. Senario pembendungan terburuk memberi kesan kebekuan ekonomi yang berlanjutan sehingga enam bulan.

Melangkaui perbincangan tentang kemampuan kita untuk menangani tempoh pembendungan ini, lebih menarik lagi adalah tentang persoalan, apa yang akan berlaku selepas tempoh ini? Pakar ekonomi konvensional menjangkakan, apabila vaksin sebagai penyelesai agung krisis ini ditemui, kita akan bertemu penghujung modul  lengkung V atau U. Jadi, selepas itu apa?

Para konvensionalis  akan sekali lagi membuat ramalan bahawa keadaan akan menjadi normal. Senario ‘business as usual’ akan kembali menjelma. Benarkah?. Relevankah ramalan bahawa senario ‘business as usual’ akan kembali? Bolehkah kita menghirup udara yang sama seperti yang kita hirup pada Disember lalu?

Jika difikirkan, ia jauh dari norma baharu kehidupan yang bakal kita lalui selepas ini. Namun, jangan khuatir. Ini bukan pengakhiran sebuah cerita mahupun sebuah sejarah kerana kita akan bergerak kepada persoalan baharu selepas ini: apakah pula pelan pemulihan selepas tamat tempoh pembendungan ini?

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found