KENYATAAN MEDIA
MASA KOMITED DALAM AGENDA MEMPERKASA BUMIPUTERA KE ARAH MASA DEPAN YANG LEBIH INKLUSIF
28 FEBRUARI 2025
KUALA LUMPUR – Institut Masa Depan Malaysia (MASA) menzahirkan kebimbangan serius terhadap cabaran ekonomi yang masih membelenggu Bumiputera, termasuk jurang pemilikan ekuiti, kadar pengangguran graduan yang tinggi serta ketidakseimbangan pendapatan antara kumpulan etnik di negara ini.
Wacana Masa Depan Ekonomi Bumiputera yang dianjurkan hari ini telah membentangkan dapatan kajian terkini yang mengesahkan bahawa pemilikan aset dan penyertaan Bumiputera dalam sektor berpendapatan tinggi masih berada pada tahap rendah. Situasi ini jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk mengukuhkan dasar sedia ada dan merangka pendekatan baharu yang lebih berkesan bagi memastikan kesejahteraan ekonomi Bumiputera, terpelihara.
Sejak pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971 hingga 1990, taraf sosioekonomi rakyat Malaysia secara keseluruhannya telah menunjukkan peningkatan positif. Insiden kemiskinan berjaya dikurangkan dan penyertaan Bumiputera dalam sektor perindustrian semakin meningkat. Namun, cabaran utama kekal dalam aspek penyasaran pengurangan jurang pendapatan, peningkatan pemilikan ekuiti Bumiputera serta pengukuhan sumbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera kepada ekonomi negara.
Statistik menunjukkan bahawa kadar pengangguran dalam kalangan Bumiputera, khususnya graduan, masih tinggi, manakala majoriti daripada mereka yang bekerja menerima gaji yang lebih rendah dan kurang terlibat dalam sektor berkemahiran tinggi atau profesional. Jurang pendapatan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera juga semakin melebar sejak lebih sedekad lalu, manakala sumbangan ekonomi perniagaan Bumiputera kekal jauh lebih rendah berbanding bukan Bumiputera, sama ada dalam perniagaan kecil mahupun besar.
Berdasarkan ucapan yang disampaikan oleh Pengerusi MASA, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam wacana ini, MASA berpandangan bahawa kerajaan perlu menilai semula strategi pemerkasaan ekonomi Bumiputera agar lebih komprehensif dan inklusif. Tan Sri Muhyiddin menegaskan bahawa sasaran sumbangan PMKS Bumiputera yang lebih rendah di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) berbanding Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) menimbulkan persoalan terhadap kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh kedudukan ekonomi Bumiputera. Oleh itu, pendekatan yang lebih menyeluruh diperlukan bagi meningkatkan akses Bumiputera kepada peluang sosioekonomi, memperkukuh penglibatan dalam sektor berkemahiran tinggi serta mempercepatkan pembangunan daya saing yang mampan.
MASA komited untuk memperkukuh dasar sedia ada dan berperanan sebagai badan semak imbang dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar kerajaan ke arah pembangunan ekonomi Bumiputera yang lebih lestari. Seiring dengan aspirasi ini, MASA akan terus menggerakkan inisiatif berimpak tinggi termasuk penganjuran forum seperti “Wacana Masa Depan Ekonomi Bumiputera” yang telah berlangsung hari ini di PAUM Clubhouse, Universiti Malaya, ini.
Forum seperti ini menjadi platform penting dalam membincangkan cabaran dan peluang yang dihadapi oleh ekonomi Bumiputera, dengan melibatkan pakar-pakar ekonomi, pemimpin industri, dan wakil kerajaan yang berpengalaman. Diharapkan hasil perbincangan ini dapat memberikan cadangan konstruktif serta mencorakkan hala tuju baharu dalam merangka dasar-dasar yang lebih efektif bagi memacu kemajuan ekonomi Bumiputera.
Sehubungan itu, MASA mengalu-alukan penyertaan dan kerjasama semua pihak berkepentingan untuk bersama-sama memperkukuh agenda pemerkasaan Bumiputera. Melalui perbincangan yang teliti dan penyelesaian berasaskan kajian yang mendalam, kita dapat membina ekosistem ekonomi Bumiputera yang lebih berdaya saing dan inklusif demi masa depan Malaysia yang lebih sejahtera.
AZRIL MOHD AMIN
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Masa Depan Malaysia