KENYATAAN MEDIA
PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA CERMINAN KEJAYAAN SETIAP PERINGKAT PENDIDIKAN
23 OGOS 2023
Institut Masa Depan Malaysia (MASA) berbangga dengan kejayaan sedekad Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Laporan Tahunan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2022 yang dilancarkan semalam (22 Ogos 2023), merekodkan kejayaan cemerlang pelan induk pendidikan tersebut sejak pelaksanaannya pada tahun 2013.
Perjalanan pelaksanaan pelan pembangunan tersebut yang terkandung dalam laporan tahunan terkini dan Gallery Walk mencerminkan kecekalan dan inovasi mampan yang boleh menjadi ikutan dalam mengatasi segala bentuk rintangan dan halangan. Penilaian setiap laporan tahunan dari tahun 2013 hingga 2022 jelas membuktikan 10 tahun pelaksanaan PPPM telah menghasilkan kejayan yang cukup bermakna sejak pelancarannya oleh mantan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6 September, 2013.
Tan Sri Muhyiddin sewaktu melancarkan PPPM menyifatkan pelan pembangunan tersebut sebagai manifestasi transformasi kerajaan paling komprehensif dalam melahirkan modal insan terbaik ke arah memacu aspirasi pembangunan negara.
MASA ingin merakamkan penghargaan atas komitmen dan kerjasama tidak berbelah-bahagi pelbagai pihak berkepentingan, termasuk masyarakat umum, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan badan-badan korporat, yang telah memainkan peranan penting dalam transformasi pendidikan negara. Namun penghargaan tertinggi tentulah wajar diberikan kepada warga pendidikan di semua peringkat kementerian, jabatan dan pejabat pendidikan, khususnya di sekolah seluruh negara. Ternyata, sumbangan kolektif mereka telah mengukuhkan kejayaan menyeluruh pelan pembangunan tersebut.
Dalam saat kita meraikan kejayaan ini, jangan sesekali kita melupakan peranan penting yang telah dimainkan oleh Tan Sri Muhyiddin, yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia Kelapan. Beliau telah berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan dari tahun 2009 hingga 2015, dan kepimpinannya yang cemerlang dan berwawasan jelas terbukti melalui penyediaan kerangka pembangunan pendidikan asas yang transformatif ini. Jelas, dedikasi dan komitmen Tan Sri Muhyiddin telah membuka jalan kepada penghasilan rancangan komprehensif ini yang telah menyaksikan kejayaan transformasi pendidikan sepanjang sedekad lalu.
Laporan Tahunan 2022, yang dilancarkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam, Selangor, memaparkan pencapaian pelan pembangunan ini menerusi pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan, di samping kejayaan dan peningkatan prestasi pelajar, penyempurnaan latihan guru hinggalah kelancaran perjalanan integrasi teknologi di dalam bilik darjah. Impak pelan pembangunan ini boleh dirasai dalam setiap aspek pendidikan merentas semua peringkat.
PPPM telah mengorak langkah berwawasan bagi negara kita dalam mengukuhkan aksesibiliti dan kualiti, kesaksamaan, perpaduan serta kecekapan dalam pendidikan. Pelan induk pendidikan ini telah menggariskan trajektori luar biasa untuk sektor pendidikan Malaysia, sekaligus membentuk masa depan yang lebih cerah demi generasi akan datang.
Di saat kita melangkah ke tahun seterusnya, MASA komited untuk meneruskan legasi kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin. Melalui kerjasama dan inovasi berterusan, kita yakin bahawa asas dan visi yang diilhamkan oleh Tan Sri Muhyiddin akan membawa kita ke arah landskap pendidikan yang lebih bermakna dan berimpak tinggi.
AZRIL MOHD AMIN
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Masa Depan Malaysia (MASA)