KENYATAAN MEDIA
MASA TAWAR GERAN PENYELIDIKAN MPDP 3.0
3 MAC 2025
KUALA LUMPUR – Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) 1.0 dan 2.0 yang masing-masing dilancarkan pada September 2021 dan Januari 2023, telah berjaya mendapat sambutan memberangsangkan, dengan penerimaan sejumlah 388 kertas cadangan daripada lebih 30 buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di seluruh negara.
Hasilnya, sebanyak 57 Ringkasan Polisi berjaya dihasilkan – 30 Ringkasan Polisi untuk Kohort 1 dan 27 Ringkasan Polisi untuk Kohort 2.0, merangkumi penyelidikan dasar dalam bidang ekonomi, sosial, pendidikan dan pembangunan lestari yang turut menjadi sebahagian daripada program flagship Institut Masa Depan Malaysia (MASA) sehingga kini.
Berdasarkan kejayaan ini, MASA dengan sukacitanya mengumumkan pembukaan permohonan untuk geran penyelidikan MPDP 3.0 bagi tahun 2025 di mana para penyelidik dan ahli akademik dari IPTA dan IPTS dijemput untuk menyertainya.
MPDP 3.0 mengambil pendekatan yang lebih strategik dan berimpak tinggi, dengan fokus pada tema “Pemerkasaan Bumiputera dan Kemakmuran Bersama”. Selaras dengan misinya sebagai sebuah pusat pemikir, MASA terus komited untuk menjalin kerjasama strategik dalam penyelidikan dan pembangunan dasar negara.
Kohort ketiga ini menawarkan geran sehingga RM10,000 bagi setiap cadangan penyelidikan yang terpilih, bertujuan untuk menambah nilai kepada dasar sedia ada dan berfungsi sebagai mekanisme check-and-balance bagi memastikan keberkesanannya. Dapatan penyelidikan ini diharap dapat menyumbang secara signifikan kepada agenda ekonomi Bumiputera negara serta selari dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Kohort ketiga ini juga merupakan kesinambungan daripada usaha awal MASA, termasuk penerbitan “Laporan Sosioekonomi Bumiputera Analisis Semasa” yang bertujuan untuk meneroka secara lebih kritikal aspek ini dalam rangka kerja pembangunan negara.
Penyelidik dan ahli akademik yang berminat dikehendaki menghasilkan Ringkasan Polisi dengan fokus pada tujuh bidang utama berkaitan Bumiputera:
- Pendapatan, Taraf Hidup dan Kesejahteraan Sosial
- Pemilikan Aset, Ekuiti dan Kekayaan
- Pembangunan Modal Insan
- Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar
- Pendidikan dan Kemahiran
- Daya Saing dan Nilai Ekosistem Perniagaan
- Pemerkasaan Reformasi Institusi dan Keterangkuman
Pemohon yang berjaya perlu menghasilkan Ringkasan Polisi masing-masing dan mereka juga digalakkan untuk menyebarkan hasil penyelidikan mereka dalam media cetak, platform elektronik dan/atau jurnal akademik terkemuka bagi memastikan impak dan visibiliti yang meluas.
Borang permohonan MPDP 3.0 yang lengkap perlu dihantar selewat-lewatnya pada 31 Mac 2025 (Isnin). Untuk makluman lanjut, sila layari laman sesawang MASA di https://institutmasa.com/ms/program-pembangunan-dasar-masa-3-0/ atau hubungi Bahagian Dasar dan Penyelidikan menerusi emel policy@institutmasa.com.
MPDP 3.0 menawarkan peluang unik bagi penyelidik dan ahli akademik memberikan impak yang ketara kepada masa depan Malaysia. Dengan menangani isu-isu kritikal yang dihadapi oleh Bumiputera, peserta sebenarnya turut memainkan peranan penting dalam membentuk dasar yang mendorong kepada pertumbuhan yang lebih inklusif dan mampan.
Jangan lepaskan peluang ini untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif transformasi dan menyumbang ke arah membina masa depan yang lebih cerah untuk Malaysia.
AZRIL MOHD AMIN
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Masa Depan Malaysia