Kenyataan Media Hari Wanita Antarabangsa 2025

KENYATAAN MEDIA

HARI WANITA ANTARABANGSA 2025

8 MAC 2025

Bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa 2025, Institut Masa Depan Malaysia (MASA) menyeru semua sektor masyarakat agar bersolidariti dalam meraikan peranan, pencapaian dan ketabahan wanita di seluruh dunia.

Di bawah tema “Accelerate Action”, MASA mengiktiraf kemajuan ketara yang telah dicapai oleh wanita serta cabaran berterusan yang masih menghalang penyertaan penuh mereka dan kanak-kanak perempuan dalam masyarakat. Walaupun wanita telah mencapai kejayaan luar biasa dalam pelbagai bidang, ketidaksamaan yang berakar umbi terus mengekang potensi mereka.

Isu seperti keganasan dan eksploitasi terhadap wanita, diskriminasi di tempat kerja, jurang gaji dan akses terhad kepada peranan kepimpinan terus menjadi penghalang utama kepada kesaksamaan sebenar bagi kaum wanita. Perubahan dan tindakan tegas serta kolektif perlu ditingkatkan dengan segera.

Tema tahun ini menyeru agar usaha bersepadu diambil bagi memastikan wanita dan kanak-kanak perempuan diberikan hak sepenuhnya, peluang yang samarata diberikan kepada mereka serta mereka diberi kuasa untuk memimpin dan berjaya dalam semua aspek kehidupan. Semua ini perlu selari dengan komitmen tidak berbelah bahagi semua pihak untuk mengujudkan masyarakat yang inklusif di mana diskriminasi berasaskan gender dapat dihapuskan dan suara wanita didengar dan dihormati.

Sejajar dengan komitmen MASA yang mendukung agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) di mana tiada sesiapa yang ketinggalan, setiap wanita dan kanak-kanak perempuan berhak untuk hidup tanpa ada rasa takut, dengan akses penuh diberikan bagi mereka mendapat pendidikan, penjagaan kesihatan, pekerjaan yang adil dan peluang sama rata untuk membentuk masa depan mereka.

Ketidakadilan struktur dan amalan diskriminasi akibat salah faham mengenai kedudukan dan peranan wanita terus menghadkan peluang mereka. Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam siaran Statistik Siswazah 2023, mendapati bahawa, secara purata, siswazah wanita memperolehi RM900 kurang daripada siswazah lelaki walaupun mempunyai kelayakan akademik yang setara.

Jurang gaji ini mencerminkan ketidakadilan sistemik yang meluas dan merendahkan sumbangan wanita serta menghadkan kebebasan mereka dalam bidang-bidang yang mana mereka boleh terlibat secara adil dan berkesan. Selain itu, laporan Forum Ekonomi Dunia 2023 menyatakan bahawa jurang gaji gender di Malaysia kekal antara yang terburuk di dunia, sekali gus menekankan keperluan mendesak untuk pembaharuan pasaran tenaga kerja bagi wanita. Manakala Laporan Jurang Gender Global 2023 meletakkan Malaysia di kedudukan 102 daripada 146 negara, menjadikan negara ini antara yang terendah di rantau ini. Angka-angka ini jelas membuktikan keperluan mendesak bagi tindakan transformatif diambil dalam menangani penafian hak-hak wanita dalam pendidikan, pekerjaan dan kepimpinan.

Selain ketidaksamaan ekonomi, wanita di Malaysia terus berdepan dengan cabaran dalam penyertaan politik dan kepimpinan. Wanita di negara ini memegang kurang daripada 15 peratus jawatan menteri, dan penglibatan mereka dalam proses membuat keputusan utama masih terhad. Kekurangan wanita dalam peranan kepimpinan mengakibatkan dasar dan inisiatif khusus gender ini sering menemui jalan buntu.

MASA menyeru individu, perniagaan, penggubal dasar dan organisasi masyarakat sivil untuk mengambil langkah berani dan komited agar kedudukan yang lebih adil dan saksama bagi kaum wanita, dapat dicapai. Kita mesti memperjuangkan pembaharuan undang-undang dan dasar yang melindungi hak-hak wanita, menolak eksploitasi yang menyalahguna serta menghadkan potensi mereka, memperkasakan sumbangan pemikiran dan perspektif wanita dalam kepimpinan dan membuat keputusan, melabur dalam pendidikan, penjagaan kesihatan dan pemerkasaan ekonomi untuk wanita, serta memupuk budaya solidariti yang tulen dan menyeluruh. Jelas, bagi mencapai keadilan dan kesaksamaan terhadap wanita, komitmen tinggi dan tindakan kolektif daripada semua pihak amat perlu dalam mempertahankan hak-hak mereka.

Dalam kita meraikan Hari Wanita Antarabangsa 2025, janganlah kata-kata hanya tinggal kata-kata, tanpa komitmen untuk perubahan yang nyata dan berimpak tinggi buat wanita. Kesaksamaan bagi wanita bukan sekadar isu wanita – ia adalah isu sejagat hak asasi manusia yang boleh mempengaruhi kemajuan ekonomi dan sosial negara kita juga.

Selamat Hari Wanita Antarabangsa 2025!

AZRIL MOHD AMIN
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Masa Depan Malaysia

Search

Kongsi Artikel

Artikel Lain

Artikel
Oleh Mohamed Azmi Mohd Rasheed Khan Pendidikan adalah instrumen paling berkuasa dalam pembinaan...