Kenyataan Media 16 Penyelidik Terpilih Menerima Geran Penyelidikan MASA

KENYATAAN MEDIA

16 PENYELIDIK TERPILIH MENERIMA GERAN PENYELIDIKAN MASA

1 OGOS 2025

KUALA LUMPUR: – Institut Masa Depan Malaysia (MASA) terus melaksanakan peranannya sebagai pusat penyelidikan dasar yang berwibawa, dengan menyokong penghasilan kajian berimpak tinggi yang memberi sumbangan langsung kepada pembangunan sosioekonomi negara.

Menerusi Program Pembangunan Dasar MASA Kohort-3 (MPDP 3.0), MASA beriltizam untuk memastikan dapatan penyelidikan dapat dimanfaatkan sebagai cadangan penyelesaian yang praktikal dan relevan dalam menangani cabaran-cabaran strategik negara.

MPDP 3.0 merupakan kesinambungan kejayaan program yang mula diperkenalkan pada September 2021. Sehingga kini, MPDP 1.0 dan MPDP 2.0 telah menghasilkan 57 kertas dasar berkualiti tinggi, dengan tumpuan kepada penyelesaian isu-isu kritikal, khususnya dalam konteks pemulihan dan pembangunan ekonomi negara.

Ini sekaligus mencerminkan aspirasi inisiatif yang diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri ke-8 merangkap Pengerusi MASA, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Hj. Md. Yassin.

Penyelidikan yang dijalankan menerusi MPDP sebelum ini merangkumi pelbagai bidang strategik. Antaranya kemiskinan multidimensi, pendidikan kumpulan B40, perancangan bandar lestari untuk komuniti berpendapatan rendah, keterangkuman wilayah di Sabah dan Sarawak, model perusahaan sosial untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), potensi ekonomi hijau dan sekuriti makanan.

Bidang strategik lain juga termasuk pemerkasaan sektor ekopelancongan, perubahan iklim, kesiapsiagaan kesihatan dan daya tahan krisis masa hadapan, mengatasi keciciran pembelajaran, pemacuan pertumbuhan perniagaan, perumahan mampu milik dan perlindungan sosial.

Untuk tahun ini, sebanyak 16 kertas cadangan telah terpilih daripada 145 cadangan yang diterima daripada para penyelidik dan akademik daripada 26 institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) seluruh negara.

MPDP 3.0 menggariskan pendekatan yang lebih strategik dan berimpak tinggi, dengan tumpuan kepada tema “Pemerkasaan Bumiputera dan Kemakmuran Bersama”. Selaras dengan misinya sebagai pusat pemikir nasional, MASA akan terus memperkukuh kerjasama strategik dalam memperkaya agenda penyelidikan dan pembangunan dasar negara.

Setiap penyelidikan terpilih akan menerima geran sehingga RM10,000, yang bertujuan untuk menambah nilai kepada dasar sedia ada serta berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya. Semua hasil kajian dijangka dapat menyumbang secara signifikan kepada agenda pembangunan ekonomi Bumiputera dan negara keseluruhannya.

Kohort ketiga ini juga merupakan kesinambungan usaha awal MASA dalam mengangkat aspirasi dan sasaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 serta penerbitan Laporan Sosioekonomi Bumiputera: Analisis Semasa, yang menjadi rujukan penting dalam menganalisis isu-isu kritikal Bumiputera secara lebih mendalam dalam kerangka pembangunan negara.

Senarai penuh penerima boleh dilayari di https://institutmasa.com/ms/program-pembangunan-dasar-masa-3-0/

MASA merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima geran penyelidikan MPDP 3.0.

Syabas dan selamat maju jaya!

AZRIL MOHD AMIN
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Masa Depan Malaysia

Search

Kongsi Artikel

Artikel Lain

Siaran Media
KENYATAAN MEDIA MAJLIS PENGANUGERAHAN GERAN PENYELIDIKAN PROGRAM PEMBANGUNAN DASAR MASA (MPDP) 3.0 4...
Artikel
Oleh Nur Zalikhaa’ Zainal Abidin MALAYSIA’S fight against tobacco is entering a troubling...
Artikel
Oleh Muhammad Iman Khidir Tarmidzi TATKALA Malaysia melakar sebuah perancangan jangka sederhana melalui...
Artikel
Oleh Azril Mohd Amin Sejarah membuktikan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi Malaysia adalah...