Islamofobia di Malaysia?

Oleh Solahuddiin Ismail Mina

MESKIPUN Malaysia mempunyai majoriti Muslim, sentimen negatif terhadap Islam masih wujud dalam bentuk retorik politik dan diskriminasi halus. Islamofobia merupakan satu fenomena global dan sedang menular di Malaysia, yang menggugat keamanan dan keselamatan awam serta umat Islam khususnya. Ia berpunca daripada pelbagai faktor sejarah, politik dan sosial.

Antara faktor yang menyuburkan dan mendorong Islamofobia di peringkat antarabangsa adalah peristiwa tinggalan sejarah seperti Perang Salib antara Kristian dan Islam dan Perang Uthmaniyyah-Habsburg yang meninggalkan persepsi negatif tentang Islam sebagai agama yang berlawanan dengan nilai Barat selain penjajahan kuasa Kristian Barat yang menjusti kasikan penjajahan mereka di negara-negara Islam seperti Algeria, Mesir dan Malaysia dengan pelabelan Islam sebagai agama mundur, kolot dan menghalang kemajuan.

Media dan propaganda Barat memainkan peranan dengan mengaitkan Islam dengan keganasan, terutama selepas peristiwa 9/11, pengeboman di Madrid pada 11 Mac 2004 dan pengeboman di London pada 2005. Kumpulan gerakan sayap kanan (right wing) di Eropah dan Amerika Syarikat turut menggunakan Islamofobia demi meraih sokongan politik. Polisi seperti Muslim Ban di AS dan larangan hijab atau tudung di Perancis menguatkan diskriminasi terhadap umat Islam. Malangnya, kumpulan-kumpulan ekstremis seperti Al-Qaeda, ISIS, dan Boko Haram melalui ideologi Pseudo Sala-Jihadis memburukkan lagi keadaan. Impaknya, serangan-serangan ini digunakan untuk memburukkan imej Islam secara keseluruhan. Akibat tindakan minoriti ekstremis ini, Islamofobia dijadikan alat politik untuk menyalahkan agama Islam secara kolektif.

Adakah Malaysia benar-benar bebas daripada ancaman Islamofobia?

Dalam konteks Malaysia pula, naratif media dan media sosial sering menjadi mekanisme untuk menyebarkan kebencian dan kata-kata buruk terhadap individu atau kumpulan yang mengamalkan ajaran Islam secara tradisional seperti wanita yang berniqab dan kumpulan Tabligh. Politik identiti melalui wacana-wacana politik juga memecah-belahkan masyarakat berdasarkan fahaman sekular-liberal melawan konservatif. Isu seperti hudud, pendidikan agama, pemerkasaan tulisan Jawi dan LGBT selalu dijadikan alat untuk menimbulkankebimbangan dan ketakutan bahawa Malaysia akan menjadi negara teokrasi. Melalui isu LGBTQ+, perdebatan tentang hak asasi manusia sering mewujudkan persepsi bahawa Islam adalah agama yang menindas hak individu. Islamofobia di Malaysia juga boleh muncul melalui golongan yang melihat undang-undang syariah sebagai ancaman kepada kebebasan sivil.

Laporan Global Islamofobia membuktikan Islamofobia semakin meningkat di beberapa bahagian dunia. Di United Kingdom (UK) sebagai contoh, lebih 44 peratus jenayah kebencian berasaskan agama yang dicatatkan pada tahun 2023 menyasarkan umat Islam, dengan peningkatan ketara laporan Islamofobia dari Oktober 2023 hingga Februari 2024. Di Amerika Syarikat (AS) pula, kajian oleh Institusi Polisi Sosial dan Persefahaman (ISPU) menunjukkan lebih 60 peratus Muslim Amerika mengalami diskriminasi agama setiap tahun sejak 2016, sementara Majlis Perhubungan Antara Islam dan Amerika (CAIR) melaporkan peningkatan 172 peratus dalam laporan Islamofobia antara Oktober dan Disember 2023.

Terdapat peningkatan dalam jenayah kebencian terhadap Muslim dan Yahudi di Eropah, seperti insiden ancaman terhadap masjid dan penghinaan melalui surat manakala di India, laporan menunjukkan bias anti-Muslim dalam pasukan polis dan diskriminasi pekerjaan terhadap wanita Muslim. Laporan Islamofobia di Australia pula mendedahkan bahawa wanita adalah mangsa utama diskriminasi, dengan 78 peratus daripada kes membabitkan mereka. Kes-kes Islamofobia ini menunjukkan bahawa kebencian terhadap umat Islam bukan hanya masalah setempat tetapi merupakan fenomena global yang semakin merisaukan.

Sedar atau tidak, Islamofobia juga berlaku di Malaysia melalui ucapan ahli-ahli politik yang memainkan sentimen-sentimen negatif dan buruk tentang Islam. Sebagai contoh, seorang ahli politik ketika berkempen di DUN Mahkota pernah mengucapkan kata-kata berbaur Islamofobia, dengan mendakwa jika pengundi Cina tidak mengundi atau membuat pilihan dengan bijak, mereka mungkin kehilangan hak untuk memakai seluar pendek dan skirt mini. Selain itu, seorang ahli politik juga mengaitkan tragedi pembunuhan beramai-ramai di sebuah masjid di New Zealand pada 2019 harus dijadikan pengajaran kepada rakyat Malaysia untuk membendung ekstremisme seolah-seolah menggambarkan Islam sebagai agama yang cenderung kepada keganasan dan ekstrem sebelum akhirnya beliau menarik balik kenyataan tersebut. Kenyataan berunsur provokatif juga dilontarkan oleh seorang lagi ahli politik yang kontroversi dengan amaran bahawa jika satu pakatan bersifat Melayu-Islam menang, Malaysia akan menjadi negara Taliban di Afghanistan.

Ucapan-ucapan sebegini dilihat sebagai upaya untuk memarakkan lagi api dan memperkukuh naratif Islamofobia dengan menggambarkan dan menanam ketakutan bahawa jika Islam mendominasi pemerintahan, hak-hak orang bukan Islam bakal terancam. Pada tahun 2019, Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wa q) telah menerima banyak aduan mengenai larangan berhijab atau bertudung daripada sektor swasta terutama perhotelan. Ini menjadi bukti bahawa diskriminasi halus melibatkan agama masih wujud di Malaysia.

Pada peringkat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) wajib mendesak resolusi global yang mengecam Islamofobia. Kerajaan mesti melaksanakan undang-undang yang lebih ketat berkaitan pertuturan anti- kebencian (anti-hate speech) yang melindungi umat Islam daripada diskriminasi semisal undang-undang anti-Semitisme di Eropah. Sekatan terhadap dasar Islamofobia seperti larangan berhijab di Perancis patut dikenakan tindakan oleh organisasi hak asasi manusia antarabangsa.

Di Malaysia khususnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia harus memantau dan mengawal selia kandungan berunsur Islamofobia dalam talian dan naratif yang mengelirukan. Media arus perdana haruslah menggalakkan gambaran positif tentang Islam dan menonjolkan peranan Malaysia dalam mempromosikan tamadun dan sosiobudaya Islam.

Ekosistem pendidikan harus dirangka dan diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan dengan menyediakan modul dan sukatan pelajaran merangkumi sekolah kerajaan, vernakular dan sekolah-sekolah persendirian yang mengilustrasikan Islam mengikut kerangka moderate atau sederhana atau wasatiyyah demi menjaga keharmonian negara. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga harus menyediakan panduan atau program pendidikan untuk menggalakkan kesedaran tentang nilai keamanan dan toleransi Islam.

Jika Islamofobia tidak dibendung lebih awal dan keras, Malaysia akan terdedah kepada penghakisan nilai toleransi dan identiti Islam, ketegangan antara kaum dan agama, peningkatan polarisasi politik serta ancaman terhadap keamanan dan keselamatan negara.

Sumber: https://www.utusan.com.my/rencana/2025/04/islamofobia-di-malaysia/

Search

Kongsi Artikel

Artikel Lain

Artikel
Oleh Mohamed Azmi Mohd Rasheed Khan Pendidikan adalah instrumen paling berkuasa dalam pembinaan...