Semarak semangat ‘Jiwa Merdeka’ makmur perpaduan, ekonomi negara

Oleh Mohamed Azmi Mohd Rasheed Khan

Ketika Malaysia meraikan Hari Kemerdekaan Ke-67 tahun ini, negara berada di persimpangan penting, menuju perjalanan ke arah perpaduan, kemajuan dan kelestarian.

Tema tahun ini, ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ menggambarkan inti pati sebuah negara berusaha untuk pembangunan holistik merangkumi dimensi sosial, budaya dan ekonomi.

Sejak mencapai kemerdekaan pada 1957, Malaysia bangga dengan identiti kemajmukan kaum Melayu, Cina, India dan pelbagai kumpulan lain, menenun warisan budaya serta tradisi yang kaya.

Perpaduan nasional menjadi asas pembangunan Malaysia, disokong pelbagai dasar dan inisiatif bertujuan memupuk integrasi serta saling menghormati dalam kalangan pelbagai komuniti etnik.

Seiring negara semakin matang, kita dapat melihat dengan jelas perpaduan melangkaui rangka sosial dan kini muncul sebagai satu keperluan ekonomi.

Konsep Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan pelbagai inisiatif semasa oleh kerajaan menekankan keperluan pendekatan bersepadu untuk pembangunan negara yang mana dimensi ekonomi, sosial dan budaya saling berkait.

Semangat ‘Jiwa Merdeka’ bukan sahaja merujuk kepada kemerdekaan daripada aspek pemerintahan semata-mata, tetapi kebebasan ekonomi dengan merapatkan jurang masyarakat, memastikan setiap rakyat dapat menikmati kemakmuran negara.

Usaha Malaysia untuk membentuk perpaduan ekonomi sangat berjaya terutama pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971 bertujuan membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat untuk memisahkan elemen kaum daripada fungsi ekonomi.

Walaupun DEB berjaya mengurangkan ketidaksamaan ekonomi, ia juga menunjukkan ketidaksamaan masih berterusan mencabar pembinaan negara hingga kini.

Apabila Malaysia terus berkembang, tumpuan perlu beralih kepada membangunkan dasar menangani keperluan semasa tanpa meminggirkan mana-mana komuniti.

Walaupun terdapat kemajuan ekonomi ketara, cabaran seperti ketidaksamaan pendapatan, ketidakseimbangan wilayah, akses terhad kepada pendidikan dan peluang pekerjaan berkualiti masih berterusan.

Pandemik COVID-19 memburukkan situasi ini dengan menjejaskan populasi terdedah secara tidak seimbang dan meningkatkan kadar kemiskinan.

Perlu ada rangka kerja ekonomi

Bagi menangani cabaran ini, perlu ada rangka kerja ekonomi bersifat lebih inklusif menekankan pertumbuhan mampan dan pengagihan kekayaan saksama.

Strategi utama itu termasuk memperkukuh pendidikan dan pembangunan kemahiran bagi memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dan latihan vokasional, terutama di kawasan kurang mendapat perkhidmatan supaya semua rakyat mempunyai kemahiran diperlukan untuk berjaya dalam tenaga kerja.

Dalam usaha mempertingkatkan jaringan keselamatan sosial, faedah pengangguran, penjagaan kesihatan dan bantuan perumahan serta perniagaan perlu diperluaskan untuk membantu mengurangkan kemiskinan dan menyediakan sokongan penting kepada kumpulan terdedah.

Pertumbuhan ekonomi inklusif akan menggalakkan dasar mengutamakan penciptaan peluang pekerjaan serta pembangunan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) bagi pertumbuhan ekonomi adil dan saksama bagi rakyat.

Dalam menggalakkan pembangunan serantau, pihak berkuasa mesti menangani ketidakseimbangan wilayah melalui pelaburan infrastruktur, pendidikan dan penjagaan kesihatan untuk mempromosikan perpaduan ekonomi di seluruh negara.

Pemerintah perlu menekankan pelaksanaan cukai progresif bagi membantu mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dan memastikan kekayaan diagihkan secara lebih saksama untuk membiayai program sosial demi manfaat rakyat.

Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) berfungsi sebagai alat penting dalam menilai kesihatan sosial negara di bawah WKB2030 yang mana ia mengukur faktor seperti integrasi sosial, toleransi, kepercayaan dan elemen saling menghormati dalam kalangan kumpulan etnik di Malaysia.

Pada 2022, tahap perpaduan Malaysia dinilai sebagai ‘sederhana’ dengan skor IPNas 0.629, mencerminkan peningkatan daripada 0.567 pada 2018.

Indeks ini mengkategorikan skor kepada empat tahap iaitu ‘perpaduan lemah’ (skor 0.0-0.24), ‘perpaduan rendah’ (0.25-0.49), ‘perpaduan sederhana’ (0.50-0.74) dan ‘perpaduan tinggi’ (0.75-1.0).

Petunjuk utama mempengaruhi indeks ini termasuk etnik, hubungan antara etnik, etos perkauman dan tadbir urus serta pembangunan.

Kerajaan sebelum ini bercita-cita meningkatkan skor ini kepada 0.7 menjelang 2025, selari dengan usaha dilihat di negara lain yang berusaha meningkatkan perpaduan sosial.

Kemajuan ini menunjukkan rasa identiti kebangsaan semakin berkembang, namun cabaran masih wujud, terutama mengenai ketidaksamaan ekonomi dan wilayah.

Indeks ini menekankan kawasan mempunyai peluang ekonomi lebih rendah sering menunjukkan perpaduan sosial lebih lemah, sekali gus menekankan keperluan dasar mempromosikan pertumbuhan inklusif dan pengagihan sumber adil.

Ketika Malaysia meraikan Hari Kemerdekaan tahun ini, penting untuk kita renungkan kepentingan perpaduan ekonomi dalam membina negara berdaya tahan dan harmoni.

Dengan menangani ketidaksamaan ekonomi dan mempromosikan pertumbuhan inklusif, Malaysia boleh memastikan semua rakyat mempunyai peluang saksama untuk berjaya dan menyumbang kepada kemakmuran negara.

Perjalanan ke arah perpaduan lebih baik adalah penuh dengan cabaran, tetapi dengan dasar dan inisiatif tepat, Malaysia boleh terus membina legasi perpaduannya.

Kemerdekaan sejati merangkumi bukan sahaja kebebasan politik tetapi jaminan setiap rakyat mempunyai peluang mencapai kemakmuran ekonomi dan menyumbang kepada kemajuan negara. Ketika negara bergerak maju, perpaduan adalah asas kepada masa depan hendak dibina.

Semoga semangat ‘Jiwa Merdeka’ menjadi inspirasi untuk kita bekerja bersama ke arah masa depan lebih cerah dan makmur untuk semua.

Sumber: https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2024/09/1296561/semarak-semangat-jiwa-merdeka-makmur-perpaduan-ekonomi-negara

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found