Oleh Muhammad Haqimie Aiman Rosli
WARISAN budaya bangsa adalah elemen terpenting dalam memupuk dan membentuk identiti serta keunikan sesebuah negara, termasuk Malaysia. Berlatarbelakangkan masyarakat berbilang kaum dan kepelbagaian budaya dan bahasa, negara kita begitu kaya dengan sejarah menjadi kebanggaan untuk generasi akan datang.
Warisan budaya negara kita meliputi pelbagai aspek seperti seni, muzik, tarian, adat resam, pakaian, bahasa dan sejarah. Makanan juga satu aspek penting, membentuk warisan khazanah negara.
Pelbagai kaum di negara ini mempunyai warisan budaya tersendiri, apabila digabungkan membentuk kekayaan budaya warisan tempatan. Bagi generasi muda, warisan budaya nenek moyang amat penting untuk diterapkan dalam diri masing-masing.
Perkara ini wajar diberikan perhatian khusus pihak berwajib kerana jika warisan budaya bangsa dilupakan, tiada apa lagi akan tinggal. Generasi muda adalah pewaris bagi memastikan warisan budaya kekal dan relevan.
Oleh itu, tanggungjawab untuk memelihara serta mengekalkan khazanah ini supaya ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’ semestinya terletak pada bahu semua rakyat, terutama remaja dan generasi muda.
Sekiranya generasi muda tidak berminat atau mahu mengambil berat melestarikan dan mempertahankan warisan budaya sendiri, berkemungkinan besar tinggalan nenek moyang kita akan terus lenyap ditelan zaman.
Namun, kepesatan teknologi semakin canggih dan kepelbagaian budaya luar yang pantas meresap dalam masyarakat negara ini, semakin menimbulkan kebimbangan.
Generasi muda dan remaja lebih terdedah serta terpengaruh dengan budaya asing, sekali gus memberikan tekanan dan persaingan kepada budaya tempatan sendiri.
Sebagai contoh, muzik negara luar semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, menyebabkan generasi muda lebih meminati muzik asing berbanding muzik tradisional kita sendiri.
Pakaian generasi muda kini juga banyak terdedah dan dipengaruhi fesyen Barat. Budaya luar, ternyata dikatakan lebih menarik serta kontemporari berbanding warisan budaya sendiri.
Sebenarnya, pakaian tradisional kita begitu unik dan mempunyai falsafah tersendiri. Sangat rugi sekiranya generasi muda tidak mengetahui falsafah pakaian kita.
Sebagai contoh, pemakaian baju Melayu mempamerkan falsafah tersendiri berkaitan kain samping, butang, bahkan poket terdapat pada pakaian itu. Semuanya membawa falsafah istimewa.
Kelestarian budaya tempatan
Justeru, generasi muda perlu diberi pendedahan dan kefahaman mendalam berkaitan warisan budaya negara supaya mereka faham dan mengetahui asal usul mereka.
Pelbagai usaha harus segera dilaksanakan bagi memastikan kelestarian warisan budaya tempatan kekal utuh dan relevan seperti dahulu. Usaha mempertahankan budaya bangsa bukan sahaja terletak pada bahu kerajaan, malah menjadi tanggungjawab semua rakyat untuk menyebarkan identiti warisan budaya dalam kalangan anak muda kita.
Penekanan perlu diberikan terhadap pendidikan budaya di sekolah, universiti serta institusi pembelajaran lain. Penyelidikan dan pengumpulan maklumat mengenai warisan budaya bangsa juga perlu digalakkan.
Melalui usaha digembleng semua pihak, warisan budaya tempatan pasti terus kekal subur dalam arus pemodenan mencabar ini. Pemahaman yang tinggi dan kesedaran terhadap kebudayaan dan warisan negara adalah kunci kepada kelangsungan identiti nasional Malaysia.