Dialog, toleransi antara kaum kunci kekalkan perpaduan

Oleh Mohd Noor Musa, Penganalisis Penyelidikan, Institut Masa Depan Malaysia

‘Kepelbagaian’ ditakrifkan sebagai ‘keadaan berbeza’. Bagaimanapun, dari konteks sosiologi, definisinya adalah jauh daripada sekadar budaya dan bangsa. Ia satu konsep berlegar pada penerimaan (acceptance) dan penghormatan (respect).

Memahami setiap individu, tradisi, kepercayaan, keunikan dan kepentingan mereka dalam sesebuah komuniti sebenarnya memberi makna sebenar terhadap konsep kepelbagaian.

Keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama adalah identiti unik dimiliki Malaysia. Namun, usaha mengekalkan keharmonian dalam kepelbagaian ini berhadapan dengan pelbagai cabaran, terutama dalam era ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Kepelbagaian adalah sebahagian daripada hukum alam. Seluruh dunia dibina atas kepelbagaian ekosistem. Tanpa kepelbagaian itu, tidak akan ada kehidupan. Ia tidak terhad kepada aspek kehidupan secara fizikal semata-mata tetapi juga dalam bentuk sistem kepercayaan dan cara hidup.

Antara satu cara untuk menangani dan menguruskan kepelbagaian dalam masyarakat pelbagai agama dan budaya adalah melalui pendekatan dialog. Dialog bertujuan menggalakkan kewujudan bersama dan kerjasama lebih baik antara banyak pihak daripada latar belakang budaya atau agama berbeza.

Beberapa dekad lalu dan insiden baru-baru ini menyaksikan konflik berskala besar, pertumpahan darah dan peperangan didorong akibat perbezaan fahaman agama dan etnik.

Skala konflik dan keganasan tidak lagi bersifat tempatan kerana ia mengambil alih dimensi global dan boleh memberi kesan kepada masyarakat berbilang budaya seperti Malaysia.

Kita melihat dalam beberapa minggu kebelakangan ini bagaimana peristiwa di Sweden dan Belanda berkaitan dengan pembakaran al-Quran, boleh memberi kesan di tempat lain.

Soalnya, sejauh manakah insiden ini mempengaruhi identiti umat Islam? Bagaimanakah Malaysia bertindak balas terhadap perkara ini?

Peranan penting agama dalam masyarakat

Berbeza dengan negara Barat, agama memainkan peranan penting dalam masyarakat Malaysia dan juga menyumbang kepada kerencaman fabrik budaya dan sosial negara.

Ini dengan jelas dapat dilihat melalui pelbagai bentuk perayaan dan acara keagamaan yang menjadi sebahagian daripada kalendar perayaan negara.

Tidak dapat dinafikan, agama adalah unsur penting dalam membentuk rohani sesebuah masyarakat. Dari sudut pembentukan tamadun, agama dan sistem kepercayaan menyediakan manusia dengan kod etika kehidupan.

Agama menjadi penggerak kepada kemajuan peribadi dan sosial. Di negara sekular misalnya, norma agama memberi inspirasi kepada pembentukan banyak undang-undang dan sistem adat.

Piagam Madinah misalnya, digunakan untuk untuk mempromosikan hak minoriti dan kebebasan beragama di negara majoriti Muslim seperti di Bangladesh.

Di Malaysia, prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan misalnya, menggariskan semua rakyat Malaysia harus mengakui Tuhan melebihi kuasa lain, serta Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan kepercayaan atau agama lain boleh diamalkan dengan bebas.

Perkara 11 dan 12(2) Perlembagaan contohnya, memberikan kebebasan kepada setiap penganut agama mengamalkan kepercayaan masing-masing. Mereka juga bebas mengurus institusi agama mereka tetapi tetap dilarang menyebar atau berdakwah kepercayaan mereka kepada umat Islam.

Kerencaman budaya dan agama yang wujud di Malaysia adalah hasil daripada kesepakatan dan proses dialog antara pemimpin pelbagai kaum terdahulu dalam usaha mencapai kemerdekaan negara.

Sedia platform tangani konflik

Kewujudan masyarakat pelbagai khususnya dari aspek agama, bangsa dan budaya memerlukan suatu wadah dalam kalangan masyarakat. Dalam hal ini, dialog antara penganut agama dilihat sebagai wadah efektif bagi membina persefahaman dan sikap toleransi masyarakat.

Dialog tidak seharusnya memfokuskan kepada aspek agama atau teologi semata-mata. Sebaliknya, dialog di Malaysia harus tertumpu kepada dialog kehidupan berdasarkan isu atau kepentingan bersama seperti sosial, ekonomi, kekeluargaan dan alam sekitar.

Dalam hal ini, dialog perlu berbekalkan ilmu pengetahuan mendalam untuk memungkinkan kita membuat penilaian tepat dan menjadi mekanisme perpaduan berkesan.

Dialog perlu membabitkan proses penting, antaranya pemahaman, penyelesaian konflik, pembinaan perhubungan, saling menghormati dan toleransi. Proses ini aspek utama komunikasi dan penting dalam pembinaan masyarakat berbilang budaya dan kaum di Malaysia.

Instrumen dialog khususnya, perlu diangkat di peringkat nasional bagi menggalakkan rasa hormat terhadap identiti budaya berbeza dan membantu mencabar stereotaip dan prasangka.

Ini sekali gus menyediakan platform untuk individu atau kelompok menangani konflik atau perselisihan faham secara terhormat dan aman, di samping membolehkan individu daripada latar belakang budaya berbeza memahami perspektif dan pengalaman masing-masing.

Dasar Perpaduan Negara (DPN) dilancarkan pada 2021 membuktikan perpaduan dan integrasi nasional akan terus diangkat sebagai agenda utama kerajaan.

Dokumen dibangunkan berteraskan Perlembagaan dan Rukun Negara ini bertindak sebagai pemangkin kepada pencapaian Malaysia untuk menjadi sebuah negara bersatu, makmur dan bermaruah selaras dengan matlamat ketiga Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Usaha untuk membudayakan dialog perlu dimulakan dalam kalangan rakyat Malaysia sejak di bangku sekolah untuk mengukuhkan perpaduan negara dan integrasi nasional yang menjadi kunci kelangsungan serta kemakmuran negara selama ini.

Ini bagi memastikan semua segmen masyarakat daripada pelbagai latar kaum dan agama dapat memupuk rasa hormat serta toleransi, bahkan membina komuniti kuat dan inklusif dalam masyarakat berbilang budaya, kekal kukuh sebagai sebuah negara bersatu padu dan harmoni.

Sumber:https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2023/02/1063522/dialog-toleransi-antara-kaum-kunci-kekalkan-perpaduan

Gambar:https://assets.bharian.com.my/images/articles/uafafgfgzumba_1676260847.jpg