58% responden tak puas hati dengan prestasi kerajaan – Kajian MASA

KUALA LUMPUR – Kajian daripada Institut Masa Depan Malaysia (Masa) mendapati 58 peratus responden tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Institut itu dalam satu kenyataan berkata, kajian itu mendapati rasa tidak puas hati itu hasil daripada kegagalan kerajaan menyelesaikan isu-isu yang membimbangkan.

“Yang paling rendah tahap kepuasan hati terhadap prestasi kerajaan dalam menyelesaikan isu-isu ini ialah kaum Melayu (27 peratus), diikuti kaum India (38 petatus) dan kaum Cina (48 peratus).

“Berkaitan dengan hal ini, 52 peratus responden merasakan ekonomi negara menjadi semakin meruncing manakala hanya 45 peratus menyatakan sebaliknya.

“Yang paling tinggi menyatakan keadaan ekonomi negara semakin meruncing ialah responden Melayu (56 peratus) diikuti Cina (49 peratus) dan India (47 peratus),” jelas institut berkenaan dalam satu kenyataan, hari ini.

Kajian itu telah dijalankan keatas 1,920 responden berumur 18 tahun ke atas di Semenanjung Malaysia yang ditemu bual menerusi telefon dari 30 April hingga 26 Mei lalu.

Jelas Masa lagi, kajian itu untuk mengetahui sentimen rakyat mengenai isu-isu semasa ekonomi, sosial dan politik di Malaysia.

Dalam pada itu, hanya 39 peratus responden Melayu menyatakan mereka berpuas hati dengan prestasi Anwar sebagai Perdana Menteri berbanding 74 peratus responden Cina dan 60 peratus responden India.

Secara keseluruhan, 53 peratus berpuas hati dengan prestasi Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10.

“Sebagai perbandingan, 63 peratus responden Melayu menyatakan mereka berpuas hati dengan prestasi Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-8 berbanding 39 peratus responden Cina dan 50 peratus responden India.

“Secara keseluruhan, 55 peratus responden berpuas hati dengan prestasi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Ke-8. Kajian ini juga mendapati masyarakat Melayu terus bersikap konservatif dalam menanggapi isu-isu berkaitan kedudukan Islam,” kata kajian institut itu lagi.

Dalam pada itu, sebahagian responden bagaimanapun bersetuju Malaysia berada pada landasan pembangunan negara yang betul manakala 35 peratus peratus menyatakan sebaliknya.

Sebahagian itu, 15 peratus menjawab tidak pasti atau tidak menjawab soalan.

“Dari perspektif kaum, hanya 48 peratus responden Melayu menyatakan Malaysia berada pada landasan yang betul berbanding 62 peratus responden Cina dan 56 peratus responden India,” jelas Masa lagi.

Kajian itu juga mendapati kebimbangan utama rakyat adalah berkisar tentang isu-isu berkaitan ekonomi seperti peningkatan kos sara hidup dan inflasi (44 peratus) dan pembangunan ekonomi (13 peratus).

Isu-isu lain yang turut menjadi kebimbangan mereka ialah ketidakstabilan politik (10 peratus), rasuah (6 peratus), kebajikan rakyat (4 peratus), hak kaum (4 peratus) serta masalah jenayah dan sosial (4 peratus). – MalaysiaGazette

#MASAuntukMakmurBersama

Sumber: https://malaysiagazette.com/2024/06/29/58-responden-tak-puas-hati-dengan-prestasi-kerajaan-kajian-masa/

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found