KENYATAAN MEDIA
MASA SERU TINDAKAN SEGERA PERKUKUH PASARAN BURUH SUSULAN PENINGKATAN KADAR PENGANGGURAN KEPADA 3.0 PERATUS
15 JUN 2026
KUALA LUMPUR, Isnin: Institut Masa Depan Malaysia (MASA) memandang serius perkembangan terkini pasaran buruh negara berikutan peningkatan kadar pengangguran kepada 3.0 peratus pada April 2026 seperti yang dilaporkan dalam Statistik Tenaga Buruh April 2026 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Peningkatan ini wajar diberikan perhatian sewajarnya kerana ia mencerminkan cabaran yang masih dihadapi oleh ekonomi domestik dalam memastikan peluang pekerjaan yang mencukupi, berkualiti dan mampan kepada rakyat.
Berdasarkan laporan DOSM, bilangan penganggur meningkat sebanyak 0.6 peratus kepada 511,800 orang berbanding 509,000 orang pada Mac, 2026. Pada masa yang sama, kadar pengangguran meningkat sebanyak 0.1 mata peratus kepada 3.0 peratus, sama seperti paras yang pernah direkodkan pada Oktober 2025.
Walaupun jumlah tenaga buruh negara terus berkembang kepada 17.33 juta orang dengan peningkatan sebanyak 0.1 peratus, kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus. Situasi ini menunjukkan bahawa pertumbuhan tenaga kerja masih belum diimbangi sepenuhnya oleh penciptaan peluang pekerjaan yang mencukupi untuk menyerap kemasukan tenaga buruh baharu.
MASA turut mengambil perhatian terhadap kedudukan pasaran pekerjaan belia yang masih mencabar. Kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal tinggi pada 10.2 peratus, melibatkan seramai 290,800 orang. Bagi kumpulan belia berumur 15 hingga 30 tahun pula, kadar pengangguran meningkat kepada 6.3 peratus dengan jumlah penganggur seramai 394,700 orang.
Cabaran Struktur Pengangguran dalam Kalangan Bumiputera
MASA berpandangan bahawa peningkatan kadar pengangguran nasional ini perlu dilihat daripada perspektif struktur pasaran buruh yang lebih luas. Berdasarkan data dalam Statistik Bumiputera 2025, komuniti Bumiputera secara konsisten mewakili lebih 70 peratus daripada keseluruhan jumlah penganggur warganegara sejak tahun 2022.
Data menunjukkan bahawa:
- Pada tahun 2022, seramai 391,900 daripada 549,100 penganggur warganegara (71.4 peratus) terdiri daripada Bumiputera.
- Pada tahun 2023, jumlah tersebut adalah seramai 354,900 orang daripada 483,700 penganggur warganegara (73.4 peratus).
- Pada tahun 2024, seramai 336,300 daripada 463,900 penganggur warganegara (72.5 peratus) adalah Bumiputera.
Bersandarkan pola ini, peningkatan jumlah penganggur kepada 511,800 orang pada April 2026 berpotensi memberikan kesan yang lebih besar kepada komuniti Bumiputera sekiranya trend struktur tersebut berterusan.
Cabaran ini tidak hanya berkait dengan ketersediaan peluang pekerjaan semata-mata tetapi turut melibatkan isu ketidakpadanan kemahiran (skills mismatch), ketidakpadanan pekerjaan (job mismatch), kebergantungan kepada sektor berproduktiviti rendah serta penglibatan yang tinggi dalam sektor pekerjaan tidak formal dan ekonomi gig.
Justeru, usaha memperkukuh daya saing tenaga kerja dan meningkatkan kebolehpasaran graduan perlu menjadi antara agenda utama dalam memperkasakan pasaran buruh negara.
Cadangan Dasar dan Langkah Intervensi
Bagi memastikan pasaran buruh negara kekal berdaya tahan dan inklusif, MASA mengesyorkan agar kerajaan mempertimbangkan beberapa langkah strategik berikut:
- Penubuhan Pasukan Petugas Pemerkasaan Pasaran Buruh
Kerajaan disaran menubuhkan pasukan petugas khas merentas kementerian yang melibatkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kewangan bagi menyelaras pelaksanaan intervensi pasaran buruh secara lebih bersepadu dan berasaskan data. - Pengukuhan Insentif Penggajian dan Sokongan kepada Majikan
Kerajaan boleh mempertimbangkan peluasan insentif penggajian serta sokongan bersasar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi menggalakkan penciptaan peluang pekerjaan baharu, khususnya untuk golongan belia dan penganggur jangka panjang. - Program Latihan Semula dan Peningkatan Kemahiran Berasaskan Industri
Program reskilling dan upskilling perlu diperkasakan melalui kerjasama strategik antara kerajaan, institusi latihan dan industri bagi memenuhi keperluan sektor berpertumbuhan tinggi seperti teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), automasi, analitik data dan ekonomi hijau. - Penglibatan Lebih Aktif GLC dan GLIC dalam Pembangunan Bakat
Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) disaran memainkan peranan yang lebih aktif dalam menyediakan peluang latihan industri, program pembangunan bakat dan pengambilan graduan baharu bagi membantu mempercepatkan penyerapan tenaga kerja ke dalam ekonomi formal.
Pengangguran bukan sekadar indikator statistik, sebaliknya mencerminkan realiti kehidupan rakyat, tahap kesejahteraan isi rumah serta keupayaan ekonomi negara untuk mewujudkan peluang yang inklusif dan berkualiti.
Sehubungan itu, semua pihak termasuk kerajaan, industri, institusi pendidikan dan pemain ekonomi perlu memperkukuh kerjasama strategik dalam memastikan pasaran buruh Malaysia terus berdaya tahan, responsif terhadap perubahan ekonomi global serta mampu menyediakan prospek masa depan yang lebih mampan kepada seluruh rakyat Malaysia.
AZRIL MOHD AMIN
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Masa Depan Malaysia (MASA)