KENYATAAN MEDIA
SAMBUTAN HARI GURU 2026
16 MEI 2026
KUALA LUMPUR, Sabtu: Sempena sambutan Hari Guru 2026 yang mengangkat tema “Guru Bitara Nadi Negara”, Institut Masa Depan Malaysia (MASA) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga pendidik di Malaysia atas dedikasi, komitmen dan pengorbanan yang tidak ternilai dalam membentuk masa depan negara.
Tema pada tahun ini bukan sekadar ungkapan simbolik tetapi merupakan pengiktirafan yang mendalam terhadap peranan guru sebagai nadi utama yang menggerakkan pembangunan bangsa dan negara.
Peranan guru sebagai pemacu perubahan dan agen transformasi sosial sememangnya memerlukan sokongan berterusan daripada semua pihak. Bagi mengekalkan dan memperkukuh impak pendidikan sejati, sokongan yang teguh dan menyeluruh amat perlu diberikan oleh semua pihak, daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pembuat dasar, institusi pendidikan hinggalah setiap ahli masyarakat demi pertumbuhan dan masa depan Malaysia yang gemilang.
Dalam era Revolusi Industri 4.0 dan peralihan ke arah ekonomi digital serta kecerdasan buatan (AI), sistem pendidikan negara berhadapan dengan keperluan untuk beradaptasi secara pantas dengan perubahan teknologi dan kehendak pasaran global. Guru masa kini dituntut untuk menjadi lebih daripada sekadar pendidik tradisional – mereka perlu menguasai teknologi, memahami dinamika pembelajaran digital serta mampu mengintegrasikan inovasi dalam semua kaedah pengajaran.
Cabaran utama ialah memastikan bahawa penekanan terhadap kemahiran masa hadapan tidak mengabaikan asas pendidikan seperti literasi, numerasi dan pembentukan nilai. Terdapat risiko bahawa agenda “future-ready” menjadi terlalu retorik sekiranya jurang asas pembelajaran, khususnya antara kawasan bandar dan luar bandar, tidak ditangani secara sistematik.
Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 yang dilancarkan oleh KPM pada Januari 2026 meletakkan guru sebagai pemacu utama transformasi pendidikan negara. Namun, segala rancangan yang diperkenalkan perlu lebih daripada sekadar penambahbaikan kosmetik untuk menghasilkan perubahan struktural yang nyata. Beban tugasan bukan akademik, tekanan pentaksiran, dan kekangan untuk pembangunan profesional berterusan merupakan antara isu struktur yang telah lama dikenal pasti dan perlu diselesaikan.
Aspek kesejahteraan guru juga perlu dititikberatkan. Hasil kajian Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendapati isu kesihatan mental dalam kalangan guru memerlukan perhatian berterusan dan mendesak. Justeru, keseimbangan antara tuntutan kerja dan kesihatan mental perlu dijadikan agenda utama KPM kerana guru yang lebih berdaya tahan dari segi emosi, mental dan fizikal akan lebih berupaya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan.
Sehubungan itu, MASA menggesa KPM mengambil tindakan lebih aktif dan sistematik bagi memperkukuh martabat profesion perguruan menerusi penyediaan serta akses kepada infrastruktur dan teknologi pendidikan terkini, peluang pembangunan kompetensi berterusan, serta pengiktirafan yang sewajarnya terhadap sumbangan mereka.
Selamat Menyambut Hari Guru kepada seluruh warga pendidik. Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan yang tidak berbelah bagi dalam mendidik anak bangsa cemerlang untuk masa akan datang. Anda bukan sekadar guru – anda merupakan tunjang dan nadi pembangunan negara.
AZRIL MOHD AMIN
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Masa Depan Malaysia