Kenyataan Media Hari Wanita Antarabangsa 2026

KENYATAAN MEDIA

SEMPENA HARI WANITA ANTARABANGSA 2026

8 MAC 2026

Penglibatan Wanita Adalah Keperluan Strategik, Bukan Lagi Pilihan

KUALA LUMPUR, Ahad: Sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026, Institut Masa Depan Malaysia (MASA) menyeru semua pihak untuk terus memperkukuh usaha memperkasa wanita melalui pendekatan yang adil, saksama dan berteraskan nilai murni.

Berlandaskan tema tahun ini, “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara”, pemerkasaan wanita bukan sekadar agenda kesaksamaan sosial, malah merupakan strategi pembangunan nasional yang penting dalam memacu pertumbuhan negara yang mampan, inklusif dan berdaya tahan.

Selaras dengan aspirasi MASA terhadap Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang menekankan bahawa tiada sesiapa harus tercicir daripada arus pembangunan, setiap wanita dan kanak-kanak perempuan berhak untuk hidup dengan maruah dan rasa aman.

Mereka sewajarnya diberikan akses penuh kepada pendidikan berkualiti, penjagaan kesihatan yang baik, peluang pekerjaan yang adil serta ruang yang saksama untuk membina masa depan yang lebih sejahtera.

Dalam tradisi nilai yang menjunjung keadilan, amanah dan ihsan, masyarakat sejahtera ialah masyarakat yang menghargai sumbangan wanita sebagai rakan kongsi penting dalam membina keluarga, komuniti dan negara.

Namun begitu, realiti semasa menunjukkan bahawa ketidakadilan struktur serta amalan diskriminasi terhadap kedudukan dan peranan wanita masih wujud dan terus menyempitkan ruang serta peluang mereka untuk menyumbang secara optimum kepada pembangunan negara.

Menurut Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2025, kadar penyertaan tenaga buruh wanita berada pada tahap 56.5 peratus, jauh lebih rendah berbanding lelaki, iaitu 83 peratus. Statistik Siswazah 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pula melaporkan bahawa secara purata siswazah wanita memperoleh pendapatan RM900 lebih rendah berbanding siswazah lelaki walaupun memiliki kelayakan akademik yang setara.

Dalam era transformasi digital serta peralihan kepada ekonomi hijau dan ekonomi masa depan, penglibatan wanita secara lebih meluas bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan strategik. Kajian menunjukkan bahawa peningkatan kadar penyertaan wanita dalam pasaran tenaga kerja berpotensi meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia antara tujuh hingga 12 peratus.

Selain itu, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) milik wanita turut menunjukkan tahap daya tahan yang tinggi, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan ekonomi digital. Peranan ini bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, malah membantu meningkatkan pendapatan isi rumah serta mengurangkan kadar kemiskinan.

Dalam aspek kepimpinan dan tadbir urus, jurang penyertaan wanita masih ketara. Walaupun peratusan wanita dalam lembaga pengarah bagi 100 syarikat tersenarai awam teratas telah melepasi sasaran 30 peratus, perwakilan wanita dalam kepimpinan politik dan pentadbiran tertinggi negara masih rendah.

Ketika ini, hanya sekitar 13.5 peratus ahli Parlimen Malaysia terdiri daripada wanita, manakala kurang daripada 20 peratus jawatan menteri dipegang oleh wanita. Keadaan ini secara tidak langsung mengehadkan peluang wanita untuk terlibat secara bermakna dalam proses penggubalan dasar serta dalam menentukan hala tuju negara.

Begitu juga dalam sektor pentadbiran dan kepimpinan organisasi di mana wanita hanya merangkumi sekitar 27.1 peratus daripada penggubal undang-undang, pegawai kanan dan pengurus. Jurang ini bukan sahaja menjejaskan keseimbangan representasi dalam sistem demokrasi, malah berisiko mengabaikan perspektif serta keperluan separuh daripada populasi negara dalam agenda pembangunan nasional.

Sejajar dengan semangat “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara”, MASA menggesa semua pihak, termasuk individu, sektor perniagaan, penggubal dasar dan organisasi masyarakat sivil untuk memperkukuh komitmen dalam memperkasa wanita.

Usaha ini memerlukan pembaharuan dasar dan kerangka perundangan yang lebih progresif bagi memastikan hak dan maruah wanita terus terpelihara serta mengekang sebarang bentuk eksploitasi dan diskriminasi yang menjejaskan potensi mereka.

Pada masa yang sama, ruang perlu terus diperluas untuk mengangkat suara, pemikiran dan kepimpinan wanita dalam proses membuat keputusan di semua peringkat. Pelaburan yang lebih besar juga perlu diberikan dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan serta pemerkasaan ekonomi wanita sebagai asas kepada pembangunan negara yang lebih seimbang dan berdaya tahan.

MASA percaya bahawa apabila wanita diberikan peluang, sokongan dan akses yang adil, mereka bukan sahaja mampu memperkukuh ekonomi negara, malah menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih sejahtera, berintegriti dan berperikemanusiaan.

Dengan komitmen bersama semua pihak, Malaysia mampu melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara yang benar-benar menghargai, memartabatkan dan memanfaatkan sepenuhnya potensi wanita sebagai rakan kongsi penting dalam pembangunan negara.

Selamat Hari Wanita Antarabangsa 2026.

AZRIL MOHD AMIN
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Masa Depan Malaysia

Search

Kongsi Artikel

Artikel Lain

Siaran Media
KENYATAAN MEDIA SEMPENA HARI WANITA ANTARABANGSA 2026 8 MAC 2026 Penglibatan Wanita Adalah...
Siaran Media
KENYATAAN MEDIA TINJAUAN TINJAUAN PERSEPSI PRESTASI PENTADBIRAN, DASAR NEGARA DAN KEPIMPINAN POLITIK 6...
Siaran Media
KENYATAAN MEDIA SAMBUTAN HARI ANTIRASUAH ANTARABANGSA 2025 9 DISEMBER 2025 KUALA LUMPUR, Selasa...
Siaran Media
KENYATAAN MEDIA MAJLIS PENGANUGERAHAN GERAN PENYELIDIKAN PROGRAM PEMBANGUNAN DASAR MASA (MPDP) 3.0 4...