Kerjasama Masa, PPMI Bantu Pendidikan Komuniti Pala’u

KUNAK: Institut Masa Depan Malaysia (Masa) menjalinkan kerjasmaa dengan Pusat Pembangan Minda Insan (PPMI) khususnya dalam membantu perkembangan pendidikan di kalangan kanak-kanak komuniti Pala’u dan juga tenaga pengajarnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Masa, Azril Mohd Amin berkata, sebagai sebuah badan pemikir bebas yang menggabungkan tenaga pakar dalam Kerjasama bidang akademik, program lawatan ke lapangan di PPMI Kg. Kabong di sini diharap dapat memberi pendedahan secara langsung kepada penyelidik, berkenaan situasi dan suasana sebenar proses dalam kalangan komuniti tersebut yang berdepan pelbagai isu serta cabaran semasa.

 

“Program ini juga sebahagian usaha kita membantu Majlis Pemulihan Negara (MPN) dalam penumpuan bidang hak pendidikan untuk semua golongan kanak-kanak,” katanya kepada Daily Express, Rabu.

 

Seramai 14 penyelidik dan kakitangan Masa menyertai program dua hari itu yang termasuk lawatan ke PPMI Kg Kabong di Kunak, dan PPMI Kg Hidayat di Semporna.

 

Hadir sama dalam lawatan itu, Ketua Penyelaras PPMI Sabah, Lajulliadi Lajahidi, serta tenaga pengajar PPMI Kg. Kabong dan Kelas Bimbingan Insan (KBI) Kg. Kunak Tiga.

 

Semasa program itu, Masa turut menyampaikan sumbangan alat-alat tulis untuk guru dan pelajar PPMI/KBI.

 

Azril berkata hubungan baik antara pihak Masa dan badan bukan kerajaan (NGO) di sini yang terlibat dalam penubuhan PPMI di Sabah, dapat permudah kerangka program jangka panjang untuk mengadakan latihan khususnya kepada guru-guru, termasuklah program kemahiran tertentu dan motivasi di kalangan tenaga pengajar PPMI.

 

“Ia merangkumi matlamat memperkasakan usaha penyelidikan tentang hak pendidikan kanak-kanak Pala’u golongan minoriti, kumpulan tercicir dan terpinggir,” katanya menambah Masa juga bercadang untuk menjadikan PPMI sebagai ‘sekolah angkat’ yang boleh dijadikan model dalam usaha mentransformasikan pendidikan luar bandar.

 

Sementara itu, Lajulliadi berkata PPMI yang diwujudkan lebih 10 tahun lalu sangat signifikan sebagai pusat komuniti yang berjaya membantu ramai kanak-kanak Pala’u mengenali ilmu pendidikan asas 3M dan juga pendidikan agama agar mereka tidak terabai dari segi pendidikan.

 

“Ilmu perlu untuk melakukan perubahan. Sebab itu pewujudan PPMI adalah kerangka awal yang berkesan bagi membantu golongan minoriti terpinggir ini dalam mendapatkan ilmu khususnya kanak-kanak komuniti Pala’u,” katanya.

 

Ketika ini, katanya, KBI yang terletak di perkampungan komuniti Bajau Laut (Pala’u) mempunyai 137 orang murid termasuk pelajar tadika, tahun satu, tahun dua dan tahun tiga.

 

Ia dibimbing oleh tujuh tenaga pengajar termasuk seorang guru besar.

 

 

Date: 16 December 2021

Source: Daily Express –

https://www.dailyexpress.com.my/news/183578/kerjasama-masa-ppmi-bantu-pendidikan-komuniti-pala-u/

 

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found