RMK-12: Peluang ke arah pemulihan negara

KETAKSAMAAN dalam agihan pendapatan dan pertumbuhan ekonomi merupakan antara isu pokok yang dibincangkan dalam dokumen Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) baru-baru ini.

Menurut Institut Penyelidikan dan Pembangunan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), cabaran utama negara bagi tahun mendatang ialah dari sudut pengurusan dan penyelesaian kepada situasi `kemiskinan digital’ – iaitu ketaksamaan akses kepada pengetahuan, manfaat, keupayaan dan akses kepada kemudahan digital.

Sehubungan itu, bagi memastikan tiada segmen masyarakat yang ketinggalan, usaha ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan perlu dipergiat bagi mengatasi jurang kemiskinan antara bandar, masyarakat dan wilayah.

Dalam hal ini, program-program bantuan yang jelas dan mudah dari segi proses permohonan, pelaksanaan dan birokrasi dapat mengelakkan berlakunya ketirisan dalam pemberian bantuan.

Pada masa ini, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai mekanisme penyaluran bantuan seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), i-Sinar dan i-Citra bagi membantu rakyat dan golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Untuk tujuan ini juga, Skuad Keluarga Malaysia telah ditubuhkan bagi menyelaras semua mekanisme penyampaian bantuan bagi memudahkan dan menyelaras agihan bantuan agar sampai kepada penerima yang disasarkan.

Menurut laporan terkini Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) di bawah Kementerian Kewangan Malaysia, sejumlah 4,412 pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah mendapat manfaat melalui SME Belief Programme (SRF) yang dilancarkan sejak Oktober 2020 dengan jumlah pembiayaan berjumlah RM5.8 bilion. Sejumlah RM639.3 juta berjaya disalurkan melalui program PENJANA Kerjaya1.0 yang memanfaatkan sebanyak 15,097 majikan dan 116,316 pekerja.

Bagi program PENJANAKerjaya 2.0 pula, sejumlah RM436.5 juta telah disalurkan sebagai insentif pengambilan pekerjaan dan memberi faedah kepada 16,594 majikan dan 138,023 pekerja.

Secara keseluruhan, Kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM1.094 bilion (sehingga Oktober 2021) kepada 35,566 majikan melalui inisiatif PENJANAKerjaya bagi mengekalkan 265,684 pekerja tempatan sebagai usaha untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan mengurangkan pengangguran dalam kalangan warganegara.

Momentum inisiatif ini harus diteruskan bagi memastikan iklim ekonomi negara terus berdaya tahan serta kalis pada asakan dan krisis pada masa akan datang

Selain itu, pengurusan data yang kemas dan berpusat serta aspek perancangan dan pembangunan infrastruktur dan projek-projek mega yang jelas, perlu diteliti bagi memacu ekonomi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Kerajaan juga perlu menumpukan perhatian kepada isu pelaksanaan di semua peringkat. Dalam konteks ini, peranan perkhidmatan awam amat penting dan perlu diperkukuh agar segala perancangan dasar dan strategi yang dirangka dapat dinikmati oleh golongan sasar, khususnya golongan berpendapatan rendah dan kumpulan rentan di Malaysia.

Sistem agihan yang lebih cekap seperti sistem kredit universal yang diamalkan di United Kingdom boleh diteliti dan dipertimbang, khususnya bagi memastikan program bantuan yang menyeluruh sampai kepada rakyat pada setiap peringkat.

Dalam menjayakan proses pemulihan negara misalnya, sebuah unit khusus di peringkat pejabat daerah dan persekutuan yang bertanggungjawab untuk menyelaras pangkalan data secara bersepadu serta semua program dan inisiatif kerajaan perlu diwujudkan. Ini dapat membantu proses bantuan agihan kerajaan agar lebih efektif dan efisien. Kerjasama pintar juga dapat digembleng dengan melalui penglibatan sektor korporat dan civil society organisation (CSO).

Perubahan harus dilaksanakan secara holistik melalui mekanisme pemberian bantuan dan jumlah bantuan kerajaan yang disalurkan kepada rakyat. Misalnya, melalui perkongsian pangkalan data antara agensi kerajaan bagi menentukan bentuk serta jumlah program bantuan yang perlu diberikan.

Melalui kaedah perkongsian ini semua agensi dapat menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan dengan lebih bersasar dan efektif.

Tumpuan juga harus diberi kepada isu pelaksanaan atau kaedah pengagihan. Suatu dokumen yang ringkas dan komprehensif yang menggariskan pencapaian dalam Rancangan Malaysia terdahulu perlu diwujudkan. Dokumen ini juga perlu mengukur kejayaan ataupun kekurangan pelaksanaan RMK-12 sebelum ini supaya pengalaman yang lepas dapat digunakan untuk penambahbaikan pada masa akan datang.

Selain itu, elemen kepartian juga wajar dikurangkan dalam beberapa isu dalam RMK-12 seperti isu pendidikan kerana usaha membasmi kemiskinan memerlukan kerjasama yang bersifat bipartisan.

Pada masa yang sama golongan muda perlu dilibatkan secara aktif dalam menjayakan rancangan ekonomi ini dengan memberi peluang kepada mereka menyumbang dalam bentuk idea.

Usaha, perancangan serta cadangan ini wajar diteliti untuk dijadikan landasan atau input polisi ke arah penambahbaikan dasar atau strategi pelaksanaan RMK-12 demi kemakmuran bersama selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

Penulis merupakan Penganalisis Penyelidikan Sosial, Institut Masa Depan Malaysia

 

Date: 25 Oktober 2021

Source: Utusan TV – https://utusantv.com/2021/10/25/

Image from: https://utusantv.com/wp-content/uploads/2021/09/691F10C2-CCE5-4640-9E7A-BFC46DA43024-696×464.jpeg

 

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found