Atur semula sistem pendidikan lahirkan siswazah bernilai

By Muhammad Iman Khidir Tarmidzi

Siswazah muda dalam dekad kebelakangan ini, terperangkap dalam fenomena ‘gaji cukup makan’, iaitu meraih pendapatan hanya mencukupi untuk menampung keperluan asas tanpa dapat menyimpan atau pelaburan masa depan.

Kajian The Future Studies Berhad menyatakan meskipun pendidikan tinggi berkembang pesat, ia membawa kesan sampingan seperti pengangguran, gaji rendah dan pulangan pendidikan tidak memuaskan.

Menurut Bank Negara (BNM), purata gaji permulaan siswazah ialah RM2,207 sebulan, sedangkan jika diselaraskan mengikut inflasi, jumlah itu sepatutnya mencecah RM7,000 hingga RM8,000.

Bekas Gabenor BNM, Tan Sri Muhammad Ibrahim memberi amaran sistem pendidikan dan struktur ekonomi Malaysia perlu dirombak atau generasi muda akan terus terperangkap dalam pekerjaan berkemahiran rendah.

Walaupun 80 peratus siswazah mendapat kerja pada masa enam bulan selepas tamat pengajian, majoriti terpaksa menerima pekerjaan separa mahir.

Laporan Khazanah Research Institute (KRI) 2024 mendapati hampir 49 peratus siswazah bekerja dalam pekerjaan tidak sepadan kelayakan dan 65.6 peratus berpendapatan di bawah RM2,000, manakala hanya 10.8 peratus mencapai pendapatan melebihi RM3,000, sekali gus membuktikan peningkatan kos sara hidup tidak disertai kenaikan gaji setimpal dalam tempoh lebih sedekad.

Ketidakpadanan pekerjaan dengan kelayakan graduan didorong beberapa faktor:

  • Ketagihan terhadap pekerjaan sektor awam dan kekurangan tempat dalam sektor swasta berorientasi eksport menyebabkan kurangnya peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
  • Kebergantungan industri 3D (kotor, bahaya dan sukar) kepada pekerja asing, menyumbang kepada tekanan menurunkan gaji graduan tempatan.
  • Peluang kerja berkualiti tidak seiring pertambahan graduan. Antara 1980 hingga 2020, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) meningkat 26 kali ganda, namun hanya 24.9 peratus pekerjaan ditawarkan pada 2022 adalah berkemahiran tinggi.
  • Kurikulum pendidikan tidak selari dengan keperluan industri moden. Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dilihat masih gagal mencontohi sistem vokasional dan latihan praktikal negara seperti Jerman.

Graduan Malaysia berdepan situasi jauh berbeza berbanding dengan rakan sebaya mereka di negara maju. Di Jerman, gaji permulaan melebihi RM207,000 setahun, manakala di Singapura dan United Kingdom (UK), purata gaji masing-masing adalah RM158,000 dan RM140,000 hingga RM170,000 setahun. Ini hasil sistem pendidikan dan latihan relevan serta berorientasikan pasaran.

Negara seperti Jerman menggunakan sistem pendidikan dual iaitu gabungan teori dan latihan industri, meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Malangnya, hanya 43.4 peratus graduan Malaysia bekerja dalam bidang sejajar dengan kelayakan mereka. Graduan yang terlebih kelayakan turut mengalami penalti gaji ketara.

Ketidakpadanan bidang kerja ini lebih membebankan Bumiputera, sebahagian besarnya kumpulan ekonomi rentan dan menjejaskan peluang pembinaan kekayaan jangka panjang.

Keadaan ini melunturkan motivasi dan menghilangkan kepercayaan generasi muda terhadap pendidikan tinggi, sekali gus meletakkan negara dalam kitaran ‘perangkap pendapatan pertengahan’ berpanjangan.

Perbaiki atmosfera ekonomi graduan

Cadangan dasar dan jalan keluar ingin diketengahkan bagi mengangkat kembali kredibiliti pendidikan tinggi yang mampu memperbaiki atmosfera ekonomi graduan di Malaysia memerlukan reformasi bersepadu.

Antaranya, peluasan latihan vokasional dan kemas kini silibus sedia ada. Kurikulum perlu menampilkan elemen praktikal serta kemahiran masa depan.

Selain itu, institusi pengajian dan kerajaan patut mewajibkan sistem penjejakan graduan bagi menilai kerjaya pelajar selepas tamat pengajian.

Seterusnya, insentif perlu diberikan kepada sektor swasta dan pasaran kerja terbuka. Kerajaan boleh memperkenalkan insentif cukai atau geran bagi syarikat mewujudkan jawatan berkemahiran tinggi dan melatih pekerja tempatan.

Ini membantu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah dan memacu penciptaan kerja lebih produktif.

Selain itu, menambah bilangan jawatan berkemahiran tinggi di sektor teknologi, perkhidmatan kewangan dan kejuruteraan boleh meningkatkan permintaan terhadap graduan.

Program bimbingan kerjaya, latihan penempatan industri dan program latihan industri perlu diperkasa untuk memudahkan peralihan daripada ruang pendidikan ke ruang pekerjaan.

Akhir sekali, pelaburan dalam kualiti dan penyelidikan. Kerajaan perlu terus meningkatkan kualiti pengajian tinggi dengan menyokong penyelidikan dan pembangunan (R&D) di universiti.

Kajian menunjukkan institusi penyelidikan berprestasi tinggi mampu menjadi pemangkin bagi kegiatan ekonomi tempatan. Dana penyelidikan dan kerjasama universiti-industri harus dipertingkatkan supaya ilmu dan inovasi dapat diterjemah kepada produk serta perkhidmatan baru yang bernilai tinggi.

Tindakan bersama ini dapat mengembalikan nilai pendidikan dalam pasaran kerja. Malaysia mampu menangani masalah kekurangan tenaga mahir dengan memperkemas dasar pendidikan dan ekonomi.

Source: https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2025/06/1408966/atur-semula-sistem-pendidikan-lahirkan-siswazah-bernilai

Search

Share Article

More Article

Article
By Muhammad Iman Khidir Tarmidzi Siswazah muda dalam dekad kebelakangan ini, terperangkap dalam...