Program PEMERKASA landasan menuju Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030)

Source of Image : Unsplash – https://unsplash.com/photos/SoT4-mZhyhE

Oleh: Amirul Hamza Abdullah, Penganalisa Penyelidikan, Institut Masa Depan Malaysia

Baru-baru ini kerajaan telah melancarkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA). Program tersebut bernilai RM20 bilion yang merangkumi empat fokus utama yang diterjemahkan melalui 20 inisiatif. Tujuan utama program tersebut adalah untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan terus meletakkan rakyat sebagai fokus utama dalam penyaluran bantuan dengan merancakkan aktiviti ekonomi di dalam negara.

Fokus kedua di dalam program ini menjadi perhatian iaitu memacu pemulihan ekonomi yang merupakan langkah secara langsung untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi pada tahun akan datang. Perkara ini dapat dilihat dengan pelaksanan projek-projek kecil di seluruh negara bernilai RM5 bilion pada tahun ini. Menurut Jabatan Statistik Malaysia, sektor pembinaan mengalami penurunan nilai ditambah yang tertinggi pada tahun 2020 berbanding sektor- sektor ekonomi lain iaitu bernilai -19.4% berbanding tahun 2019. Walaupun inisiatif ini menumpukan kepada projek berskala kecil, usaha ini boleh dijadikan titik permulaan kepada sektor pembinaan memasuki fasa permulihan.

Sub-sektor pelancongan juga tidak ketinggalan dalam radar inisiatif permulihan ekonomi oleh kerajaan. Aktiviti ekonomi yang berkaitan sub-sektor tersebut akan menerima bantuan antaranya dalam bentuk pengecualian cukai pelancongan dan perkhidmatan, melanjutkan galakan cukai kepada syarikat pengendali pelancongan sehingga tahun taksiran 2022 dan membenarkan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan mulai 1 April hingga 31 Disember 2021 diberikan kepada syarikat industri pelancongan dan industri terpilih seperti panggung wayang dan spa. Penawaran dalam sub-sektor ini juga digerakkan dengan lebih aktif melalui penyaluran Geran Bantuan Khas secara one-off sebanyak RM3,000 dan RM600 kepada lebih 5,000 agensi pelancongan dan pengusaha homestay berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Selain itu, perusahaan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) juga akan menerima manfaat dalam program PEMERKASA. Sewaktu penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) 1.0 dan 2.0, perusahaan mikro dan PKS tidak dibenarkan beroperasi menyebabkan mereka mengalami masalah aliran tunai yang kritikal. Penambahan sumber kewangan sebanyak RM500 juta bagi kemudahan mikro kredit amat signifikan demi kelangsungan mereka untuk terus beroperasi sehingga program vaksinasi berakhir. Disamping itu, program kali ini jelas mengambarkan konsep infklusif dengan menyediakan menambah dana sebanyak RM60 juta kepada Tekun Nasional. Program ini membiayai perusahaan mikro dalam sektor informal seperti pasar malam dan pasar tamu dengan had pembiayaan sehingga RM5,000.

Seterusnya, aktiviti ekonomi yang tidak rancak dan sesetengah perusahaan tutup akibat kerugiaan yang besar telah menyebabkan pekerja terpaksa diberhentikan sekaligus meningkatkan masalah pengangguran. Di dalam program PEMERKASA, kerajaan komited dalam menyelesaikan masalah ini dengan memperkenalkan inisiatif pengekalan pekerjaan dan insentif penggajian. Program subsidi upah 3.0 dan skop insentif pengambilan pekerja

masing-masing diperluaskan dengan peruntukan RM700 juta dan RM300 juta. Skop insentif pengambilan pekerja akan meliputi pekerjaan sementara dan memberi pelindungan kepada pekerja gig ekonomi melalui PERKESO.

Penciptaan pekerjaan juga menjadi antara perkara yang penting bagi mengurangkan risiko pengangguran. Kerajaan telah menunjukkan komitmen mereka dengan menyasarkan 500 ribu pekerjaan baharu pada tahun ini. Kerajaan juga telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara bagi memastikan sasaran ini dapat dicapai pada penghujung tahun 2021.

Kesimpulannya, program PEMERKASA telah mengambarkan komitmen kerajaan yang tinggi dalam merancakkan kembali aktiviti ekonomi, mengembalikan aktiviti perusahaan mikro dan PKS dan seterusnya menjana pekerjaan kepada rakyat. Perkara ini amat penting bagi merealisasikan fokus kerajaan iaitu pemulihan ekonomi Malaysia dan menjamin kesejahteraan rakyat. Program ini juga adalah langkah yang signifikan dan sejajar dengan tusaha kerajaan dalam mencapai sasaran WKB2030 yang bermatlamat menyediakan taraf kehidupan yang wajar untuk rakyat.

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found