Percaturan politik dalaman bakal tumbangkan Umno-BN?

By Khairul Syakirin Zulkifli, Research Analyst, Institut Masa Depan Malaysia

SEJAK Umno-BN mengumumkan senarai calonnya pada 1 November lalu, banyak pihak telah menjangkakan bahawa Umno-BN akan berhadapan dengan masalah besar untuk mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Apakan tidak, bila banyak sekali senarai nama Menteri, Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen yang dilihat sebagai penyokong kuat Perdana Menteri merangkap Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang digugurkan sebagai calon Umno-BN.

Di Johor, dua Menteri yang dilihat rapat dengan Ismail Sabri yang dicantas dari senarai calon, iaitu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara), dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi).

Di Perlis, satu Menteri dan satu Timbalan Menteri geng Ismail Sabri yang dipangkas, iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar).

Di Perak, tiga geng Ismail Sabri juga dikerat, iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) dan Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas).

Di Kelantan dan Selangor, dua nama besar penyokong Ismail Sabri turut dipancung, iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang).

Begitulah juga dengan di beberapa negeri lain seperti di Pahang yang membabitkan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib (Maran), dan di Negeri Sembilan yang membabitkan Datuk Seri Mohd Salim Sharif (Jempol).

Tindakan drastik Pengerusi BN merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada pengamatan para pengamat politik mempunyai strategi serampang dua mata bagi menjejaskan kedudukan Ismail Sabri di samping mengukuhkan kedudukan beliau sendiri.

Perlu diketahui, walaupun Perhimpunan Agung Umno (PAU) dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno telah memutuskan bahawa Ismail Sabri adalah ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri Umno-BN, dalam dunia politik janji sebegini bukanlah sesuatu yang pasti.

Masih kita ingat lagi bagaimana Umno-BN memasuki dan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac dengan janji bahawa Datuk Ir Hasni Mohammad adalah calon Menteri Besar Umno-BN tetapi yang terlantik adalah Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Tidak hairanlah bila timbul kenyataan meragukan dari pemimpin tertinggi Umno sekarang mengenai calon Perdana Menteri Umno-BN seperti bahawa Umno-BN akan mengemukakan tiga nama atau bahawa kuasa terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong.

Bila Pengerusi BN dan Presiden Umno selaku ketua parti yang akan dirujuk oleh Yang di-Pertuan Agong bagi membincangkan pembentukan kerajaan baru pasca PRU15 nanti maka sudah pastilah Ahmad Zahid berkuasa besar untuk mengemukakan nama calon Umno-BN.

Apatah lagi bila Ahli-ahli Parlimen baru mewakili Umno-BN hampir kesemuanya adalah mereka yang datang dari kem penyokong Ahmad Zahid maka teramat besar untuk kemungkinan bahawa nama calon dalam akuan bersumpah nanti bukan nama Ismail Sabri.

Serentak dengan itu, strategi politik Ahmad Zahid di dalam menggugurkan nama-nama besar penyokong Ismail Sabri sebagai calon-calon Umno-BN di dalam PRU15 sebenarnya tidaklah sukar untuk dibaca kerana ia jelas merupakan percaturan untuk menghadapi pemilihan Umno.

Semua sedia maklum bahawa pada 29 Julai lalu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah meluluskan usul pindaan Perlembagaan Umno supaya pemilihan Umno di semua peringkat diadakan tidak boleh lebih daripada enam bulan selepas berlangsungnya sesuatu PRU.

Ini bermakna kini pemilihan Umno di semua peringkat tidak boleh tidak wajib diadakan sebelum 19 Mei 2023 dan, demi kepentingan politik Ahmad Zahid maka ia akan diadakan secepat mungkin sebelum kes perbicaraan mahkamah beliau menghampiri penghujung.

Pada 24 Januari, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, telah mengarahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi selepas kes prima facie bagi semua tuduhan berjaya ditimbulkan.

Kem Ahmad Zahid diketahui amat bimbang sekali bahawa beliau akan dicabar dan dikalahkan oleh Ismail Sabri yang memegang jawatan Perdana Menteri atau calon proksi Ismail Sabri di dalam pertandingan merebut jawatan Presiden Umno pada pemilihan Umno tersebut.

Menyedari bahawa budaya politik Umno adalah untuk menyokong sesiapa yang menjawat jawatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri maka kem Ahmad Zahid menggunakan PRU15 sebagai medan mencatur pemilihan Umno tersebut.

Bacaan mereka adalah jika Ismail Sabri dan penyokong kuat beliau tidak terpilih ke jawatan-jawatan tersebut maka sudah tentulah kedudukan mereka akan menjadi lemah untuk memberi cabaran yang kuat terhadap kem Ahmad Zahid pada pemilihan Umno tersebut.

Walaupun begitu, tidak munasabah bahawa mereka yang berhasrat mahu menjatuhkan Ahmad Zahid dari jawatan Presiden Umno pada pemilihan Umno tersebut naif politik, sudah pastilah mereka mempunyai strategi mereka yang tersendiri juga di dalam PRU15 ini.

Salah satu strategi ini pastilah untuk memastikan bahawa nama-nama baharu yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid sebagai calon-calon Umno-BN di dalam PRU15 ini akan tersungkur atau setidak-tidaknya menang tipis supaya beliau akan menerima akibatnya.

Ini semua tentunya berpotensi menumbang atau setidak-tidaknya mencederakan dengan parah Umno-BN di dalam PRU15 ini kerana jika Umno-BN mencapai kejayaan cemerlang maka kedudukan Ahmad Zahid sebagai Presiden Umno langsung tidak akan mampu digugat.

Akhirnya, pihak yang akan mencapai keuntungan daripada kemelut dalaman Umno ini pastilah PN yang mendapat lonjakan luar biasa daripada ketidakpuasan hati mereka yang digugurkan Umno-BN, termasuk Shahidan dan Ismail Abdul Mutalib di Arau dan Maran.

Source: https://harakahdaily.net/index.php/2022/11/17/percaturan-politik-dalaman-bakal-tumbangkan-umno-bn/

Image: https://harakahdaily.net/wp-content/uploads/2022/11/IMG-20221117-WA0043.jpg

 

Share Article

More Article

No data was found