‘Peganglah kata-kata saya’, kata PM mengenai pemulihan hak Sabah, Sarawak

KUCHING: Kerajaan komited untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan berjanji meminda Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk tujuan itu.

Bagaimanapun, beliau mengakui kerajaan pimpinan Perikatan Nasional mungkin tidak dapat memenuhi perkara itu kerana memerlukan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat untuk meminda perlembagaan.

“Jika kita boleh menang besar dalam pilihan raya umum ke-15, itu akan memudahkan kita melakukannya secepat mungkin.

“Peganglah kata-kata saya ini,” katanya di sesi ‘town hall’ Wawasan Kemakmuran Bersama.

Beliau mengulas permintaan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg supaya Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan dipinda kerana tafsiran terkini frasa ‘Persekutuan’ di dalamnya merujuk kepada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Abang Johari sebaliknya mahukan ia dipinda kepada ‘Perlembagaan Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963.’

Muhyiddin berkata beliau maklum mengenai permintaan itu selain menyedari ia juga kehendak kebanyakan rakyat Sarawak.

“Ini sesuatu yang dekat di hati rakyat Sarawak dan kita komited untuk mengembalikan serta melindungi hak mereka. Saya turut menyedari Sabah dan Sarawak bukan sekadar negeri malah wilayah di Malaysia,” katanya.

“Jadi jika ada apa-apa yang mereka (Sabah dan Sarawak) menganggap tidak adil berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963, kita boleh duduk membincangkannya lebih lanjut.”

Katanya kerajaan diketuai PN itu mahu mengukuhkan hubungan antara persekutuan dengan negeri berdasarkan rasa saling hormat dan persefahaman.

Berhubung Wawasan Kemakmuran Bersama, Muhyiddin berkata polis itu penting untuk memastikan kesejahteraan setiap rakyat di negara ini, tanpa mengira bangsa dan agama.

“Kita berusaha melakukan apa saja yang terdaya demi kepentingan orang ramai supaya tiada sesiapa yang ketinggalan,” katanya.

Selain itu, katanya, keseluruhan 781 projek di Sarawak bernilai RM4.5 bilion telah diluluskan di bawah rancangan boleh pinda pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Sebagai tambahan, sejumlah RM988 juta telah diasingkan mengikut RMK-12 untuk 347 projek berkaitan pendidikan, termasuk program latihan, selain pembaikpulihan dan pembinaan semula sekolah yang usang di seluruh negeri.

Sementara itu, di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA), sejumlah 523 loksai di kawasan luar bandar Sarawak akan menikmati WiFi percuma dengan kadar kelajuan 35Mbps menjelang Oktober tahun ini.

Date: 1 April 2021
Source and Image from: Free Malaysia Today – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/01/peganglah-kata-kata-saya-kata-pm-mengenai-pemulihan-hak-sabah-sarawak/

Share Article

More Article

No data was found