Krisis Kesihatan Negara Akibat Pandemik : Kesihatan Mental & Ekonomi

Source of Image : Unsplash – https://unsplash.com/photos/j2dGRHzH6Rc

Oleh: Amirul Hamza Abdullah, Penganalisa Penyelidikan, Institut Masa Depan Malaysia (MASA)

Kesihatan mental boleh dikaitkan dengan pelbagai punca dan antara paling dekat dengan skop ekonomi adalah pekerjaan. Kehilangan pekerjaan, guna tenaga tidak penuh atau underemployment, dan pengangguran dalam jangka masa panjang adalah punca seseorang boleh menghidap penyakit mental. Masalah ini berkait rapat dengan penyakit mental seperti kegelisahan, kemurungan dan kehilangan kepuasan dalam kehidupan mereka.

Selain itu, perlindungan dan jaminan pekerjaan juga menjadi kayu ukur kepada penyakit mental pekerja. Pekerjaan seperti pekerja dalam skop kemahiran rendah dan sederhana mempunyai jaminan pekerjaan yang rendah ditambah dengan perlindungan pekerjaan yang minimum. Mereka terdedah kepada risiko kehilangan pekerjaan tanpa sebarang pampasan. Perkara ini membimbagnkan apabila berlaku krisis ekonomi seperti situasi sekarang.

Kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) bagi membendung penyebaran koronavirus (COVID-19) kerana risiko penyebarannya mampu melumpuhkan sistem kesihatan di Malaysia. Kesan sampingan daripada tindakan ini telah mencetuskan sekatan kepada aliran dalam ekonomi. Hasil paling hampir dengan rakyat Malaysia adalah pekerjaan mereka. PKP menyebabkan kesan sampingan kepada pekerjaan terutama pekerjaan didalam kategori berkemahiran sederhana dan rendah seperti pengurangan pembayaran gaji kerana masa bekerja dikurangkan, potongan gaji atas kapasiti jualan yang rendah dan paling membimbangkan ialah kehilangan pekerjaan.

Secara profil, pekerjaan berkategori tersebut selalunya datang daripada keluarga yang berpendapatan rendah dan paling berisiko kerana sumber pendapatan mereka hanya bergantung pada satu orang sahaja. Mereka seperti ini dikategorikan sebagai golongan rentan pasti berada di dalam risiko yang tinggi terutama semasa krisis ekonomi. Sebelum krisis ini berlaku, kehidupan mereka serba kekurangan dan tidak mempunyai perlindungan sekaligus menyukarkan mereka merancang pelan pelampung jika berlaku krisis seperti ini. Sebagai contoh, golongan rentan sukar menabung atau mencari peluang menjana pendapatan pasif. Hal ini terbukti dengan rakyat Malaysia sukar mengeluarkan RM1000 jika berlaku kemalangan[1] dan mampu bertahan selama 3 bulan bagi mereka yang mempunyai tabungan[2]. Situasi ini jelas mengambarkan mereka mengalami kegusaran daripada kesan ekonomi dan hal ini akan mendedahkan mereka kepada penyakit mental seperti kegelisahan dan kemurungan yang melampau.

Selain itu, kesihatan mental ini juga berlaku kepada pesakit COVID-19 terutama kepada bekas pesakit COVID-19. Mereka akan mengalami kesan sampingan semasa dijangkiti atau selepas sembuh daripada COVID-19 yang dipanggil kesan Long COVID-19.  Mereka akan mengalami masalah psikologi seperti kemurungan dan gelisah boleh memberi kesan dalam menjalani rutin semasa bekerja. Lebih membimbangkan, mereka juga terdedah dengan gangguan kognitif yang amat penting untuk melakukan pekerjaan. Perkara ini akan menjadi rumit apabila bekas penyakit COVID-19 kehilangan pekerjaan boleh membawa kepada masalah mental yang serius.

Pada November 2020[3], Kementeriaan Kesihatan telah mengesahkan bahawa 53.3% daripada 37,009 panggilan daripada Helplines During COVID-19 adalah pemanggil meminta sokongan psikologi dan emosi. Lebih mengejutkan lagi, 86.1% daripada jumlah panggillan meminta sokongan psikologi dan emosi adalah pemanggil daripada umur 20-39 tahun dan 40-59 tahun. Keadaan ini jelas mengambarkan bahawa masalah kesihatan mental berada dalam risiko yang tinggi dan lebih teruk lagi apabila berlaku semasa kapasiti dan kecekapan sistem kesihatan awam yang terhad diuji dengan penyebaran COVID-19.

Kesan kesihatan mental akan timbul dalam jangka masa yang panjang terutama di dalam pasaran buruh di Malaysia. Pada tahun 2017 hingga 2020[4], bilangan penganggur meningkat sebanyak 11.4% tetapi bilangan penganggur selama jangka masa setahun hingga 3 tahun meningkat sebanyak 16.5% lebih tinggi daripada jumlah bilangan penganggur semasa. Kesan kesihatan mental ini dapat mengganggu momentum penganggur daripada mencari pekerjaan baharu dan tidak berminat untuk reskilling dan relearning bidang atau kemahiran baharu.

Kesihatan mental antara perkara yang penting untuk diberi perhatian oleh pemegang taruh kesihatan terutama dalam krisis yang berlaku sekarang. Inisiatif untuk membendung perkara ini seperti menubuhkan dan mengerakkan bantuan talian seperti KASIH dan KSK-care line wajar diteruskan walaupun krisis sekarang ini akan sampai ke titik noktah. Inisiatif tersebut juga diperkukuh dengan mempercepatkan penyediaan perkhidmatan rawatan kesihatan mental iaitu MENTARI dan dianggarkan sebanyak 40 unit komuniti pada hujung 2025. Walaubagaimana, inisiatif ini juga perlu disulami dengan program kesedaran kesihatan mental yang memberi fokus kepada mencegahnya daripada peringkat mula.

[1] Laporan Survei Capabilities and Inclusion 2015, Bank Negara Malaysia

[2] Laporan Kajian Literasi Kewangan Malaysia 2019, Ringgitplus dan VISA Malaysia

[3] Maklum Balas Parlimen oleh Kementerian Kesihatan, 2020

[4] Laporan Survei Buruh 2020, Jabatan Statistik Malaysia

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found