Kepentingan Kesihatan Mental Ke Arah Mencapai Kemakmuran Bersama.

Source of Image : Unsplash – https://unsplash.com/photos/x8ZStukS2PM

oleh Nurul Hazirah Kamaruddin, Juruanalis (Pelatih), Institut Masa Depan Malaysia

Tahukah anda pada tahun 2019 sebanyak 60 kes bunuh diri telah dicatatkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ini menjadikan secara purata sebanyak 2 kes bunuh diri dilaporkan di Malaysia setiap hari. Terdapat beberapa faktor penyumbang berlakunya kes bunuh diri, antaranya gangguan mental, tekanan kehidupan (umpamanya masalah bebanan hutang), kemurungan yang berpanjangan dan sebagainya. Kejadian bunuh diri ini bukan sahaja melibatkan seorang individu, tetapi beberapa individu lain turut terkesan kerana bagi setiap nyawa yang terkorban, ahli keluarga atau rakan-rakan akan turut mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi. Sekiranya punca kepada pemasalahan ini tidak dikenalpasti dan ditangani segera, besar kemungkinan visi Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang stabil, makmur dan sejahtera menjelang 2030 sukar untuk dicapai.

Salah satu faktor penyumbang kepada masalah bunuh diri adalah disebabkan tekanan atau stres. Lebih-lebih lagi semasa pandemik COVID-19 dan ditambah dengan tekanan kehilangan sumber pendapatan yang disebabkan kehilangan pekerjaan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini. Semakin ramai yang memilih jalan penyelesaian bunuh diri sebagai langkah mudah untuk keluar daripada masalah yang mereka hadapi ini. Pihak PDRM juga telah meyatakan bahawa berlaku peningkatan yang mendadak dalam statistik kes bunuh diri khususnya sepanjang tempoh pandemic COVID-19. Sebanyak 631 kes bunuh diri telah dilaporkan sepanjang tahun 2020 dan 468 kes bunuh diri bagi bulan Januari hingga Mei 2021. ini bukanlah satu pencapaian yang boleh dibanggakan kerana Malaysia kehilangan hampir 500 rakyatnya bagi lima bulan pertama tahun 2021. Sekiranya isu ini tidak dibendung, tidak mustahil jumlah angka kes bunuh diri ini akan menginjak kepada 1000 kes menjelang hujung tahun 2021.

Ini bukanlah satu petanda yang baik yang seterusnya boleh menjejaskan imej Malaysia di kalangan negara luar disebabkan ketidaktelusan pihak kerajaan dalam pentadbiran negara untuk menangani isu ini. Kedudukan Malaysia sebagai negara yang selamat untuk didiami juga akan terjejas. Selain itu, tiadanya tempat untuk meluahkan perasaan dan silent treatment yang diberikan oleh orang sekeliling khususnya ahli keluarga memburukkan lagi keadaan. ini sekaligus menjejaskan kesihatan mental kerana mereka merasakan diri tidak dihargai selain mewujudkan imaginasi luar biasa yang mampu mendorong berlakunya stres yang melampau yang boleh membawa kepada kematian jika tidak diuruskan dengan baik.

Silent treatment merujuk kepada satu sikap mendiamkan diri atau mengabaikan seseorang dengan menolak untuk bergaul dan berkomunikasi dengan individu terbabit. Keadaan ini berlaku disebabkan perasaan marah, kecewa dan kebimbangan melampau dalam menghadapi masalah yang berlaku. Kadang kala, ianya menjadi satu pilihan untuk mengelakkan berlakunya perbalahan disebabkan penuturan bahasa-bahasa kesat yang dikeluarkan secara tidak sengaja apabila seseorang itu sedang marah. Pada awalnya, kaedah ini disangka menjadi satu penyelesaian yang rasional, tetapi secara tidak langsung ia akan mendorong kepada berlakunya keretakan dalam sesebuah hubungan khususnya dalam institusi kekeluargaan kerana kurangnya komunikasi antara satu sama lain. Sebenarnya, ini bukanlah satu petanda yang baik, sebaliknya ia merupakan satu isu serius yang perlu dibincangkan secara bersama untuk memastikan kelangsungan serta keharmonian keluarga.

Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang penting, bukan sahaja dalam penyediaan keperluan asas yang mencukupi kepada anak-anak, malah mereka juga perlu memantau aktiviti anak-anak mereka. Ibu bapa haruslah mengelakkan diri daripada menjadikan silent treatment sebagai salah satu pendekatan dalam mendidik anak- anak sepanjang tempoh PKP ini. Ia bukanlah satu tindakan yang rasional dan bijak kerana ianya bukan sahaja akan meregangkan hubungan kekeluargaan, malahan anak-anak akan merasa tersisih dan tidak dihargai.

Baru-baru ini, kita telah dikejutkan dengan kes kematian pelajar di sebuah universiti tempatan akibat stress melampau disebabkan kesuntukan masa untuk menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah. Walaupun ianya merupakan kes terpencil, namun tragedi ini mampu dielakkan sekiranya pensyarah dan pelajar sama-sama berbincang mengenai kaedah terbaik dalam melaksanakan penilaian sepanjang pelaksanaan pembelajaran secara online distance learning (ODL) yang dipraktikkan oleh universiti di negara ini sepanjang tempoh PKP. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan sering bertanyakan hal pembelajaran anak-anak mereka di rumah di samping sentiasa memberi sokongan moral tanpa membebankan anak-anak dengan kerja-kerja rumah yang berlebihan, khususnya semasa waktu kelas/kuliah sedang berjalan. Masa dan peluang yang ada sepanjang tempoh pembelajaran secara ODL di rumah boleh diluangkan untuk duduk bersama berbincang dan bertanya masalah yang dihadapi anak-anak sekurang-kurangnya sekali seminggu. Melalui cara ini, anak-anak akan merasakan diri mereka lebih dihargai, diberi perhatian dan bersifat lebih terbuka untuk berkongsi dan mencari penyelesaian terbaik kepada apa jua masalah yang mereka hadapi.

Bagi pasangan jarak jauh, pastikan sentiasa bertanya khabar dan saling mempercayai antara satu sama lain untuk mengelakkan keretakkan dalam rumah tangga yang dibina. Luangkan masa walaupun hanya 15 minit untuk menelefon pasangan dan bertanya khabar atau berkongsi masalah yang dihadapi. Dalam hal ini, komunikasi dua hala dan melazimkan diri untuk sentiasa bertanya khabar pasangan walaupun tinggal berjauhan atas faktor mencari rezeki bagi menjana ekonomi keluarga. Ianya sedikit sebanyak dapat mengurangkan kebimbangan dan tekanan emosi yang dihadapi akibat berjauhan sepanjang tempoh PKP.

Justeru, aspek pengurusan diri, emosi dan kesihatan mental diri, keluarga dan masyarakat perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak khususnya dalam tempoh PKP ini. Sebagai individu, kita boleh membantu dengan mengambil masa untuk mendengar, cakna dengan keadaan sekeliling serta mendapatkan bantuan yang sewajarnya sekiranya ada di antara ahli keluarga atau jiran terdekat yang memerlukan sokongan emosi dan mental. Ini juga selaras dengan Teras ke-5: Kesejahteraan Sosial & Teras ke-7: Modal Insan dokumen Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) iaitu ke arah peningkatan positif bagi pelbagai petunjuk prestasi dan indeks sosial, contohnya Indeks Kesejahteraan Keluarga, Indeks Keharmonian Kejiranan, Indeks Pencegahan Jenayah serta yang paling utama – peningkatan Indeks Kesihatan Rakyat akan dapat dicapai menjelang tahun 2030. Marilah, bersama-sama #kitajagakita!

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found